Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menggandakan usaha bagi mengekang jenayah seperti perjudian, maksiat, gangsterisme dan penyeludupan manusia ke tahap paling minimum.

police pc on anwar ibrahim  140807 mohd bakri mohd zinin Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin (kiri) berkata antara tindakan itu adalah dengan mempertingkatkan jumlah serbuan terhadap premis perjudian dan lokasi pelacuran.

    

"Melalui Ops Dadu PDRM sehingga November ini, sebanyak 18,897 serbuan telah dilakukan berbanding tahun lepas iaitu 16,071 di premis-premis perjudian haram.

"Dalam serbuan pada tahun ini juga, seramai 16,511 individu ditahan, dengan rampasan mesin sebanyak 55,049," katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

    

Semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan pada Jun lepas, sebanyak 270 serbuan dijalankan dengan melibatkan pertaruhan purata RM1 bilion manakala nilai rampasan wang tunai ialah RM9.9 juta, kata Mohd Bakri.

    

Beliau berkata secara keseluruhannya, sepanjang tahun ini sindiket perjudian telah mengalami purata kerugian RM1.4 bilion yang membabitkan nilai rampasan wang tunai sebanyak RM11.9 juta.

    

Mohd Bakri berkata polis juga berusaha keras membanteras kegiatan maksiat, apabila dalam operasi Ops Noda sehingga November tahun ini, sebanyak 16,940 serbuan dilakukan dengan tangkapan seramai 10,825 wanita warga asing, berbanding tahun sebelumnya iaitu 13,283 serbuan dengan 11,224 jumlah tangkapan.

Beliau berkata Ops Cantas, iaitu tindakan membanteras aktiviti gangsterisme, telah menunjukkan peningkatan ketara bagi tindakan penggeledahan dan pemeriksaan individu.

    

Ketika ditanya mengenai kes tangkapan dua anggota polis yang didakwa memukul seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya, Mohd Bakri berkata PDRM tidak akan berkompromi walaupun mereka merupakan anggota polis.

    

"Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat jika ternampak sebarang kelakuan kasar yang tidak sepatutnya dilakukan oleh anggota PDRM, segeralah membuat laporan polis," katanya.

    

Mohd Bakri juga berkata PDRM  PDRM akan terus meningkatkan tahap kesediaan pegawai dan anggotanya bagi memperkukuhkan lagi usaha dan strategi mereka mengurangkan kadar jenayah tahun depan, sekaligus meningkatkan prestasi pasukan itu.

    

"2011 merupakan tahun cabaran bagi PDRM kerana kita akan meningkatkan prestasi kita daripada sudut pencapaian daripada aspek penugasan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutamanya dalam membantu masyarakat dan sebagainya," katanya.

Beliau menegaskan masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu dan bekerjasama dengan polis untuk mengurangkan dan membendung kegiatan jenayah.

    

"Kerjasama ini perlu memandangkan kita mempunyai fokus kepada jenayah-jenayah berkenaan, untuk memastikan rakyat merasa selamat dalam pelaksanaan tugas dan tangungjawab kita," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati serta menjaga keselamatan diri lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baru Cina memandangkan berkemungkinan besar masa inilah kesempatan diambil oleh penjenayah untuk melakukan jenayah.

    

Mohd Bakri berkata walaupun polis sentiasa menjalankan tugas mereka, namun kerjasama daripada orang ramai juga adalah perlu.

    

"Seperti mana yang kita tahu, kita akan meraikan perayaan Tahun Baru Cina menjelang 2011, terutamanya di bandar-bandar besar banyak aktiviti yang akan dijalankan.

    

"Saya menasihatkan kepada masyarakat ataupun orang ramai untuk mengenal pasti tempat-tempat yang ditujui dan memastikan keselamatan mereka terjamin, ini bermaksud pihak polis akan menjalankan tugas tetapi kerjasama perlu diberikan," katanya.

    

Mohd Bakri juga mengingatkan kaum wanita supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah.  

    

"Jangan berjalan sendirian di tempat yang gelap, dan ada perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh wanita supaya mengawal dan menjaga diri supaya tidak dijadikan mangsa jenayah," katanya.

    

- Bernama