Sebutan kes Anwar Sabtu ini
Kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditangguhkan pada 10 November lalu akan ditetapkan pada Sabtu ini. Gobind Singh Deo, peguam Sukma Darmawan, adik angkat Anwar mengesahkan pihaknya sudah menerima surat dari pihak mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan pada 18 Disember ini. Ketika kes ditangguhkan pada Rabu 10 November lalu, kebetulan juga hari pembubaran Parlimen, Hakim Ariffin Jaka memberikan alasan beliau mengalami "sakit belakang."
Gobind memberitahu malaysiakini bahawa peguam-peguam yang terbabit dalam kes ini dan Ariffin akan bertemu Sabtu ini untuk menetapkan satu tarikh baru meneruskan perbicaraan tersebut. Penolong Pendaftar mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh 16 November untuk mendengar kes kontroversi ini tetapi ia tiba-tiba ditangguhkan tanpa tarikh dan penjelasan lanjut.
Peguam bela Sukma itu, bagaimanapun, tidak bersedia meneka sebab-sebab penangguhan kes tersebut sebelum ini, berkebetulan pada musim kempen pilihan raya umum, kerana hal itu di luar bidangnya.
"Sebagai peguam, kami tidak berhak untuk mengulas keputusan hakim menangguhkan kes tersebut," jelasnya.
Anwar, 52, dan Sukma, 38, dituduh meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi Datin Seri Dr Wan Azizah, di pangsapuri Tovoli Villa milik Sukma, Bangsar. Sukma juga dituduh membantu Anwar meliwat Azizan.
Sementara itu, Pawancheek Merican, salah seorang peguam bela Anwar, menjelaskan bahawa Peguam Negara Mohtar Abdullah pernah menyuarakan hasratnya untuk mencabar sapina dari peguam bela Anwar yang bercadang memanggil Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke mahkamah.
Beliau menambah jika sapina itu diterima, Mahathir akan dipanggil memberikan keterangan selepas Anwar dan Sukma habis memberikan keterangan.
"Mahathir merupakan saksi penting kes ini," jelas Gobind. "Kami berharap beliau bersedia hadir memberikan keterangan walaupun kami tidak mendengar apa-apa maklumat lanjut mengenai hal itu."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.