K'jaan: Nasib Interlok diketahui tidak lama lagi
Keputusan mengenai isu buku teks sastera Tingkatan Lima, 'Interlok', akan diketahui dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong hari ini.
"Sebarang keputusan akan dibuat selepas rundingan dan kajian terperinci melibatkan pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh sastera dan akademik," katanya kepada pemberita di Putrajaya, sebagai mengulas perkembangan terkini isu tersebut.
Penggunaan 'Interlok' yang dihasilkan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sebagai teks komponen sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu bagi sesi persekolahan 2011 menjadi isu apabila beberapa pihak membantah kerana dikatakan menyentuh sensitiviti kaum.
Mengulas lanjut isu itu, Wee berkata secara peribadi beliau tidak menemui 'cacat-cela' pada kandungan buku tersebut.
"Unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti seperti didakwa hanyalah tafsiran dangkal segelintir pihak," katanya.
Wee sebelum itu hadir pada majlis penyerahan buku bertajuk 'Ulam' yang disumbangkan Masbe Group of Companies , untuk diletakkan di semua perpustakaan sekolah menengah di negara ini.
- Bernama

