Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang menafikan dakwaan pemimpin Pakatan Rakyat bahawa beliau seorang seksis dan menentang wanita menjadi DUN.

NONE Beliau berkata isu tersebut dibangkitkan oleh pemimpin Pakatan di dalam laman sosial Twitter yang disalah tafsir sebagai "ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh Tseow Suan tidak cukup kebolehan untuk diberi mandat berkhidmat di kawasan berkenaan semasa cuti bersalin".

"Saya ditanya beberapa soalan tertentu mengenai kawasan Dewan Undangan Negeri Subang Jaya (di mana rakan saya berkata beliau mengundi pada pilihan raya umum lalu).

"Di tengah-tengah perbualan kami, saya bertanya sama ada mahukah (kawan saya) memilih Bendahari Beliawanis Kebangsaan Wanita MCA, Jessica Lai May Kum atau Yeoh, yang akan bercuti bersalin tidak lama lagi," katanya.

Tan menjelaskan bahawa beliau hanya menunjukkan pilihan kepada rakannya  seorang wanita mengandung untuk dipilih menjadi calon di kawasan Subang Jaya pada pilihan raya umum akan datang.

    

NONE Beliau menegaskan tiada pun di dalam perbualan Twitternya itu beliau menyebut bahawa beliau anti wanita mengandung menjadi wakil rakyat atau beliau meminta sesiapa pun supaya tidak mengundi wanita mengandung.

Katanya tidak perlulah pihak pembangkang mengambil kesempatan di atas sebarang perkara untuk menyelamatkan masalah politik yang sedang mereka hadapi.

"Adalah malang, mereka kini menjadikan istilah cuti bersalin sebagai sesuatu yang sensitif di negara ini. Seseorang yang akan cuti bersalin tidak boleh disalah tafsir sebagai orang berkenaan tidak mampu langsung untuk menjadi ADUN.

"Mereka perlu berfikiran lebih terbuka dan tidak menyalah tafsir perbualan setiap orang semasa memantau ruang siber demi kepentingan politik mereka," katanya.

Tan yang sebelum ini menerima tekanan daripada Pakatan Rakyat termasuk Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok; ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong; ADUN  Teratai, Janice Lee malah Timbalan Ketua Wanita Gerakan, Ng Siew Lai meminta mereka meminta maaf kepadanya.

- Bernama