Nur Alert belum diluluskan kabinet
Sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) bagi mengesan dan menghebahkan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah akan dilaksanakan secepat mungkin setelah mendapat kelulusan Kabinet.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kementerian bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memuktamadkan pelaksanaan sistem itu setelah ia dipersetujui kedua-dua pihak.
"Saya percaya pihak jemaah menteri akan memberi kelulusan pada mesyuarat akan datang, saya amat berharap untuk sistem ini dilaksanakan secepat mungkin sebab kita hendak pastikan pembelaan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.
"Kalau ada kes-kes kehilangan, sistem ini akan digerakkan segera," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pihak PDRM mengenai sistem itu di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin; dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.
Shahrizat berkata, perbincangan itu juga memutuskan bahawa PDRM akan menjadi pengerusi kepada sistem NUR Alert kerana polis mempunyai kuasa dan prasarana untuk memastikan sistem ini berjalan dengan baik, manakala kementerian sebagai timbalan pengerusi.
Sementara itu, Hussin berkata sistem ini berfungsi untuk membuat hebahan ke semua agensi, jabatan, kementerian dan badan korporat apabila mendapat maklumat mengenai kanak-kanak hilang di balai-balai polis.
57 dilapor hilang
"Untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, kita memulakan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, dari situ apabila kita mendapat maklumat berkaitan kanak-kanak yang hilang, kita akan mulakan proses hebahan kepada umum melalui petugas yang dikenalpasti.
"Petugas ini terdiri daripada pelbagai agensi, kementerian, badan-badan korporat seperti lapangan terbang, pelabuhan, kita juga ada Kementerian Pengangkutan yang akan hebahkan kepada terminal, teksi, bas selain hebahan pada pihak media dan blog," katanya.
Beliau berkata, selain itu, Kementerian Luar juga terbabit dalam pelaksanaan sistem ini bagi memaklumkan kepada pihak kedutaan sekiranya perlu apabila kanak-kanak berkenaan disyaki dibawa keluar negara untuk memastikan polis boleh mengesan semula kanak-kanak yang hilang itu.
Beliau berkata, pada Januari hingga November tahun lalu, seramai 57 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dilapor hilang dan 35 orang ditemui semula berbanding 50 orang yang hilang dan 45 yang dijumpai semula pada tahun 2009.
Hanya tujuh dikesan
Pada 2008 pula, hanya tujuh kanak-kanak dikesan hilang dan seorang yang dijumpai semula.
Bagi kanak-kanak hilang berumur 18 tahun ke bawah, Hussin berkata seramai 711 orang dilapor hilang pada Januari hingga November tahun lepas dan 347 dijumpai semula manakala 1,048 didapati hilang dan 497 dijumpai semula pada tahun 2009.
Angka itu semakin menurun berbanding tahun 2008 apabila 1,174 kanak-kanak 18 tahun ke bawah dilapor hilang dan 655 dijumpai semula.
Ketika ditanya sama ada sistem itu akan dipanjangkan untuk mengesan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah yang hilang memandangkan statistiknya lebih ramai berbanding kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, Hussin berkata perkara itu mungkin akan dilakukan kemudian.
"PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kanak-kanak dan juga orang hilang di bawah 12 dan 18 tahun, tetapi kanak-kanak 12 tahun adalah tumpuan kami, mungkin boleh diperluaskan kemudian (untuk kanak-kanak 18 tahun ke bawah)," katanya.
- Bernama

