mk-logo
Berita
KBRI nafi terima laporan dakwaan amah dirogol

Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) hari ini menafikan menerima laporan daripada sebuah NGO kebajikan pekerja berhubung dakwaan kes rogol melibatkan seorang pembantu rumah warga republik dan seorang menteri kabinet Malaysia.

Jurucakap KBRI Suryana Sastradiredja berkata laporan seperti itu tidak pernah diterima walau didakwa sedemikian dalam laporan blog sebelum ini.

"Jadi kes ini dianggap tidak jelas, kita masih tidak faham sama ada benar atau tidak. Kalau sudah ada pengaduan (mengenai dakwaan rogol) kita akan siasat," kata Suryana ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan di laman blog bahawa laporan daripada Migrant Care itu antaranya telah diserahkan kepada KBRI, kedutaan Amerika Syarikat dan juga kepada pejabat perdana menteri Malaysia.

Tambahnya, maklumat yang diperolehi KBRI berhubung kes tersebut setakat ini hanya berdasarkan laporan berita di akhbar dan laman web "yang memainkan isu itu."

Katanya lagi, perkembangan mengenai kes berkenaan mendapat perhatian meluas daripada media Indonesia dan beliau menerima banyak panggilan telefon daripada wartawan berkenaan.

Beliau juga menasihati media supaya mendapatkan maklumat tepat sebelum melaporkan perkembangan mengenai kes tersebut.

"Jangan hanya melaporkan sahaja, nanti akan rosakkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS