Chandra jelaskan isu perletakan jawatan
Dr Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional akan mengumumkan kedudukan sebenar isu perletakan jawatannya satu atau dua hari lagi. Beliau menafikan pernah menghantar surat rasmi mengenai hal tersebut dan menganggap berita itu sebagai "spekulasi". Chandra bagaimanapun tidak bersedia mengulas lanjut apabila ditanya apakah beliau tidak berhasrat sebelum ini untuk berbuat demikian.
"Berita tentang surat perletakan jawatan itu tidak benar. Bagaimanapun, saya akan menjelaskan segala spekulasi tersebut dan juga perancangan seterusnya setelah bermesyuarat dengan rakan-rakan dalam parti," jelas Chandra.
Berita tentang perletakan jawatan Chandra disiarkan oleh [#1]malaysiakini[/#]
minggu lalu dan beberapa hari selepas itu ia turut disiarkan oleh akhbar-akhbar harian utama. Berdasarkan sumber-sumber dalaman parti itu, Chandra bertekad meletakkan jawatan dalam satu pertemuan pucuk pimpinan parti selepas pilihan raya umum lalu.
Chandra yang baru sahaja kembali dari satu persidangan "Parliament of the World Religions" selama seminggu di Afrika Selatan menjelaskan bahawa beliau masih meneruskan kerja-kerja parti. Baru-baru ini beliau mengeluarkan satu kenyataan membidas pembentukan kabinet baru dan menyifatkannya sebagai "tidak menghormati sentimen pengundi."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.