Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IPP susut 3.7% bulan ke bulan
Diterbitkan:  Jan 10, 2011 3:39 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Indeks Pengeluaran Perusahaan (IPP) pada November 2010 meningkat 5.1 peratus tahun ke tahun, namun menyusut 3.7 peratus bulan ke bulan, kata Jabatan Perangkaan hari ini.

Ia berkata indeks kumulatif antara Januari-November 2010 menokok 7.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2009.

Peningkatan tahun ke tahun pada November 2010 adalah hasil daripada peningkatan kesemua indeks iaitu perkilangan (6.5 peratus), perlombongan (1.7 peratus) dan elektrik (4.9 peratus), kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Keluaran perkilangan bagi Oktober 2010 meningkat 4.7 peratus (dikemaskini) berbanding bulan yang sama pada 2009.

Berbanding bulan sebelumnya, keluaran November 2010 turun 3.8 peratus.

Pertumbuhan bagi tempoh 11 bulan pada 2010 meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Peningkatan dalam keluaran perkilangan pada November 2010 adalah berikutan peningkatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi (24.4 peratus), tekstil, pakaian, produk kulit dan kasut (10.5 peratus) dan petroleum, kimia, produk getah dan plastik (9.5 peratus).

Keluaran untuk sektor perlombongan meningkat 1.7 peratus pada November 2010 berikutan peningkatan indeks gas asli (2.1 peratus) dan indeks minyak mentah (1.5 peratus).

Berbanding bulan sebelumnya, keluaran perlombongan turun 2.9 peratus.

Bagi tempoh 11 bulan pertama 2010, sektor perlombongan susut 0.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2009.

Keluaran elektrik meningkat 4.9 peratus pada November 2010 berbanding bulan yang sama tahun lepas namun mencatat penurunan 6.6 peratus berbanding tempoh pada bulan sebelumnya.

Peningkatan 9.4 peratus dicatatkan untuk tempoh 11 bulan tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada 2009.

--Bernama

ADS