Harapan Parti Progresif India (IPF) pimpinan MG Pandithan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) adalah merupakan satu angan-angan kosong, kata presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas.

Bahkan, katanya, parti pimpinan Pandithan itu merupakan parti pembangkang kepada MIC, yang merupakan parti komponen ketiga terbesar dalam BN.

Malah, katanya, presiden MIC, Datuk S Samy Vellu, pun tidak suka IPF menyertai BN.

"Tidak ada jalan bagi Pandithan atau partinya untuk menyertai BN. Dia juga bukan seorang pemimpin yang boleh menerajui dan berjasa.kepada rakyat," kata Kayveas lagi.

Kayveas juga tidak puas hati dengan berita yang dilaporkan oleh akhbar Malaysian Nanban yang menurutnya semata-mata bertujuan untuk memberi publisiti kepada IPF.

Tiada wawasan

Laporan itu mengandungi ulasan pemimpin masyarakat India di negara ini, termasuk Pandithan, mengenai kenyataan Kayveas berhubung penutupan sekolah Tamil di negara ini.

Mereka juga mengulas mengenai tindakan ahli PPP membakar akhbar Malaysian Nanban di depan pejabat akhbar berkenaan baru-baru ini.

Akhbar itu turut menyiarkan petikan kata-kata Kayveas yang mengkaitkan kelakuan Pandithan "sebagai anjing yang menyalak, selepas melihat anjing lain berbuat demikian tanpa mengetahui apa sebab musababnya'.

Mengulas lanjut, Kayveas menganggap IPF sebagai sebuah parti yang tidak berwawasan, tidak mempunyai idea membangun dan tidak tahu berfikir secara logik.

Kayveas berpendapat, Pandithan hanya berpolitik untuk kepentingan peribadi dan tidak untuk negara.

Bakar akhbar

"Sejak sepuluh tahun lalu, satu-satunya usul dari Pandithan ialah 'kami mahu sertai BN'. Itu sahaja...tidak ada apa-apa selain dari itu," sindir Kayveas lagi.

Mengenai isu penutupan sekolah Tamil yang masih berpanjangan, beliau berkata, semuanya berpunca daripada salah faham, kerana mereka tidak mempunyai pengetahaun mengenai bahasa dan sekolah Tamil di negara ini.

Sementara itu, Pandithan ketika diminta mengulas kenyataan Kayveas, berkata, presiden PPP itu tidak berhak membuat sebarang kenyataan hasrat IPF untuk menyertai BN, kerana "beliau bukanlah pengerusi BN".

Sehubungan itu, Pandithan mempersoalkan tindakan PPP membakar akhbar Malaysian Nanban , sedangkan akhbar itu hanya menyiarkan berita Bernama mengenai isu penutupan sekolah Tamil.

"Bagi saya, tindakan PPP itu menunjukkan bahawa mereka hanya berani berbuat demikian terhadap akhbar Tamil yang dianggap kurang sokongan dan lemah.

Tabung pendidikan

"Mengapa Kayveas dan PPP tidak mengambil tindakan terhadap Bernama ataupun akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily yang turut melaporkan berita yang sama," tambah Pandithan.

Sehubungan itu, katanya, antara langkah yang boleh diambil untuk menyelamatkan masa depan sekolah Tamil, bukanlah dengan cara menutupnya tetapi berusaha menambah kemudahan prasarana yang diperlukan, serta memindahnya ke tanah milik kerajaan.

"Kita tidak boleh 'membakar kelambu kerana nyamuk' kerana tindakan itu tidak akan membawa sebaik kebaikan kepada masyarakat India di negara itu," tambahnya.

Pandithan juga mencadngkan supaya ada usaha untuk mewujudkan tabung pendidikan sepertimana Tabung Langkawi, oleh MCA, bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar sekolah Tamil yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar ke sekolah rendah Tamil yang sekaligus dapat meningkatkan taraf pendidikan di sekolah berkenaan," katanya.