Seramai 40 peniaga kedai makan dan kedai bunga di Jalan Tun Sambathan, Brickfield akan berpindah secara berperingkat ke bangunan baru di Jalan Chan Ah Tong mulai esok, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Katanya para peniaga itu dibenarkan untuk berpindah secara berperingkat kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) faham bahawa mereka akan menghadapi pelbagai kerumitan seperti pengangkutan, tenaga kerja dan sebagainya untuk memindahkan barang dagangan dengan segera.

"DBKL akan menetapkan tarikh akhir kelak untuk mereka berpindah ke bangunan baru di Jalan Chan Ah Tong, Brickfields, dan DBKL juga akan menyediakan bantuan sekiranya diminta peniaga dalam proses pemindahan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal 2011 di Little India, Brickfields, di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir ialah timbalannya Datuk M Saravanan, Presiden Persatuan Komuniti Perniagaan Brickfields Barath Maniam dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL Datuk Muhammad Sidek Khalid.

Raja Nong Chik berkata buat masa ini kesemua peniaga kedai makan dan kedai bunga menjalankan perniagaan mereka di tapak gerai sementara yang disediakan oleh DBKL di Jalan Tun Sambanthan, di Kuala Lumpur.

Mengenai Pesta Ponggal, iaitu perayaan sempena musim menuai yang disambut oleh masyarakat India di seluruh dunia, Raja Nong Chik berkata, ia akan dijadikan sebagai sebuah acara tahunan di Little India, Brickfields.

Beliau juga berharap Little India sentiasa dijaga kebersihan dan prasarananya oleh semua pihak kerana ia adalah antara produk pelancongan utama di Kuala Lumpur.

--Bernama