Polis pergi untuk kali kedua ke pusat khidmat ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di Kota Kemuning, Shah Alam dan mengambil beberapa peralatan komputer dari situ.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Zahedi Ayob, yang mengesahkan perkara itu berkata peralatan itu diambil bagi tujuan siasatan berhubung tuduhan Shuhaimi menghina Sultan Selangor menerusi laman blognya baru-baru ini.

    

"Sekumpulan polis diketuai ASP Chong dari IPD Shah Alam pergi ke pusat khidmat Adun itu, kira-kira pukul 1 petang hari ini. Kita ambil peralatan komputer seperti broadband router dan sebagainya untuk dianalisis bagi membantu

siasatan kes.

"Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana menerbitkan artikel berunsur menghasut," katanya ketika dihubungi.

    

Semasa lawatan kali pertama ke pusat itu Jumaat lepas, polis juga mengambil beberapa peralatan komputer dari pejabat itu.

    

Shuhaimi yang juga timbalan ketua cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam blognya 30 Disember lepas yang didakwa mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru.

- Bernama