Ibu pejabat Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) kini mengambil alih siasatan terhadap dakwaan bahawa rambut seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang beragama Sikh telah dipotong semasa tidur.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kecil berkata, ini ekoran siasatan awal yang dikendalikan komandan kem berkenaan tidak menjumpai sebarang bukti berlakunya insiden itu.

"Saya telah meminta pengarah operasi JLKN membuat siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat mengenai kes ini, seterusnya melaporkan kepada saya hasil pertemuan mereka," katanya.

NONE Pagi tadi, Surinderpal Singh, 47, mendakwa rambut  anaknya, pelatih di kem Sungai Bakap, Pulau Pinang telah digunting pada 16 Januari semasa mengikuti kursus PLKN.

Menurut ajaran Sikh, memotong rambut adalah dilarang sama sekali.

Pada sidang media tergempar di Putrajaya petang ini bagi menjelaskan perkara itu, Abdul Hadi berkata, siasatan terperinci dijangka selesai dalam masa dua minggu.

"Kemudian barulah kita dapat lihat keadaan tersebut (apa yang berlaku)," katanya.

Katanya, siasatan awal telah dilakukan sejurus selepas dakwaan dibuat dengan pengendalian Mejar Shamsudin Abdul Aziz.

Bagaimanapun, tambah Abdul Hadi, mereka gagal mengesan bukti atau mendapatkan pengakuan daripada pelatih yang disoalsiasat.

"Kita juga tidak mendapat bukti bahawa ada objek tajam (untuk memotong rambut) dibawa masuk. Tetapi kalau ia ada, saya juga kecewa jika benar," katanya.

Ditanya sama ada kakitangan kem turut disiasat, Abdul Hadi hanya menjawab pihaknya "ada prosedur" dan melakukan siasatan menyeluruh.

Katanya, walaupun pelajar lain dipotong rambutnya ketika memasuki kem, pelajar Sikh diberi pengecualian, selari dengan penekanan terhadap sifat bertolak ansur antara pelbagai agama dan kaum yang hendak diterapkan.

Abdul Hadi juga menegaskan JLKN  akan mengambil tindakan tegas pada pihak yang bertanggungjawab "supaya tidak timbul salah anggap."

Katanya, daripada lebih 300 pelatih di kem itu, hanya tiga merupakan penganut Sikh.

Sementara itu, belum habis sidang media itu, bangun seorang lelaki Sikh yang memakai lilit kepala dan kelihatan tidak berpuas hati dengan penjelasan itu.

Mukhtear Singh berkata, beliau khuatir pihak di bawah tidak melaksanakan apa yang sepatutnya.

"Orang Melayu kata, kalau tak ada angin, kenapa pokok bergoyang?" Kata Mukhtear yang duduk sebelah para pemberita.

"Kalau (kata), tak confirm, tak confirm, ini bukan yang masyarakat hendak dengar. Bila buat sidang media, mestilah ada fakta."

Bagaimanapun, tindakan itu ditangani Abdul Hadi dengan tenang yang sekali kala mencelah dengan berkata "kami ambil perhatian" dan "kami akan lakukan".

Ditemui pemberita selepas itu. Mukhtear yang mendakwa dirinya sebagai setiausaha kuil Sikh di Sungai Besi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.