Pegawai MPSJ didakwa pukul penjaja
DAP Selangor hari ini menghantar laporan kepada Suhakam mengenai kejadian dua penjaja yang didakwa dipukul oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Selasa lalu.
Laporan itu dikemukakan oleh ahli jawatankuasa DAP Selangor, T Kannan di pejabat Suhakam pagi ini. Kejadian itu dikatakan berlaku ketika dua penjaja berkenaan dikatakan cuba melarikan diri bagi mengelak daripada disaman.

Menurut Kannan, pegawai Suhakam yang menerima aduan tersebut memberi jaminan bahawa Suhakam akan menyiasat perkara tersebut.
Kejadian itu didakwa berlaku pada pagi Selasa lalu, ketika Yap Foo Kan dan adiknya, Yap Foo San, sedang menjual makanan di jalan utama USJ 3.
Menurut Foo Kan, apabila menyedari pegawai penguatkuasa sedang membuat pemeriksaan di situ, dia dan adiknya cuba melarikan diri kerana tidak sanggup membayar saman sebanyak RM550.
Beliau mendakwa pegawai MPSJ terbabit melanggar motosikal mereka dan seterusnya memukul adiknya.
"Apabila saya bertanya, mengapa mereka memukul saya, akibatnya, saya juga turut dipukul," tambahnya.
Bersimpati
Berikutan itu, pegawai penguatkuasa MPSJ telah merampaskan motosikal yang digunakan untuk menjaja makanan di kawasan terbabit.
Foo Kan dan adiknya kemudiannya membuat laporan di Balai Polis USJ 8, berhubung kejadian itu. Mereka juga pergi ke pejabat DAP Selangor untuk meminta bantuan bagi menyelesaikan perkara itu.
Sementara itu, Kannan berkata, selepas menerima aduan mereka, pihaknya menghantar aduan mengenai kejadian itu kepada Suhakam hari ini kerana bersimpati dengan apa yang menimpa adik beradik itu.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan pegawai penguatkuasa MPSJ itu kerana menurutnya telah menyalahgunakan kuasa dengan bertindak ganas terhadap orang awam.
Kannan juga meminta agar pihak MPSJ mengeluarkan permit perniagaan kepada semua penjaja di kawasan USJ 3 di samping menyediakan tempat yang sesuai untuk mereka berniaga.
Katanya, beliau juga difahamkan bahawa pegawai penguatkuasa MPSJ berkenaan telah membuat laporan polis pada hari yang sama, mengenai kejadian itu.
MPSJ tidak dapat dihubungi untuk sebarang pertanyaan.

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.