Polis telah memulakan siasatan terhadap aduan mengenai dakwaan berlakunya penyelewengan terhadap wang simpanan milik Kuil Sri Marathandavar Thevalaya Hindu Paripalaya Sabah di Maran, Pahang.

Setiausaha Agung kuil itu, T Separamaniam, ketika dihubungi malaysiakini , memberitahu pihaknya telah diminta berjumpa pihak polis petang semalam dan hari ini berhubung aduan itu.

Khamis lalu, dua exco Pemuda Keadilan Pusat, S.Manikavasagam dan S. Jayathas telah membuat aduan polis di Balai Polis Dang Wangi kerana berdakwa berlaku penyelewangan beribu-ribu ringgit wang oleh ahli jawatankuasa tertinggi kuil berkenaan.

Kuil itu mempunyai 25 ahli jawatankuasa dan merupakan salah sebuah kuil tertua, terbesar dan termasyhur di negara kita.

Manikavasagam memberitahu malaysiakini yang beliau ada kesemua bukti yang menunjukkan berlakunya penyelewengan dan menyalahgunakan kuasa serta wang milik kuil berkenaan untuk kepentingan peribadi.

Isu panas

Beliau juga menyertakan bersama laporan polis, lampiran penyata kira-kira, surat akuan sumpah dari juruaudit dalaman yang memeriksa akaun kuil tersebut, dan dokumen lain yang berkaitan dengannya.

Ini termasuk laporan akhbar Malaysian Nanban keluaran 27 Disember 2002 yang melaporkan: "Penyata akaun tahunan telah dilesapkan beribu-ribu ringgit. Ini adalah salah satu isu panas akan diperbangkitkan oleh semua perwakilan kuil yang menghadiri mesyuarat agungnya".

Dalam laporan polisnya, Manikavasagam menamakan presiden kuil, P Raman; setiausaha agung kuil, T Separamaniam, dan bendahari agung, M Selvatore sebagai mereka yang bertanggungjawab.

Menurut Manikavasagam lagi, sebelum ini, juruaudit dalaman kuil tersebut, M Subramaniam, pernah membuat aduan polis tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Subramaniam membuat aduan di Balai Polis Maran, Pahang pada 12 Mac lalu. Sebelum itu, beliau pernah mengemukakan surat akuan mengenai perkara itu kepada Balai Polis Temerlah pada 3 Januari lalu.

Dalam laporan polis itu, Subramaniam menyatakan bahawa penyata kewangan bagi tempoh 1998/2000 dan 2000/2002, tidak menyatakan mengenai pendapatan kuil itu yang melebihi RM200,000.

Deposit tetap

Manakala Manikavasagam pula mendakwa, pada Mac 2000, ahli jawatankuasa kuil itu mengeluarkan wang RM84,644.00 dari deposit tetap milik kuil itu di Bank Hongkong and Shanghai Corp (HSBC), manakala wang sebanyak RM30,000 telah didebitkan dari Bank of Commerce (BOC) manakala akaun di Bank Bumiputra (BBMB) ketika itu mempunyai baki sebanyak RM54,644

Bagaimanapun, laporan juruaudit dalaman kuil itu berkata, tiada sebab ditunjukkan untuk mengeluarkan wang dari deposit tetap

Selain itu, laporan juruaudit itu mendakwa wang tunai berjumlah kira-kira RM60,000 milik kuil itu, telah digunakan untuk kepentingan peribadi di antara 31hb Disember dan dari 1 Jan 2000 hingga 31 Mac 2000.

Laporan itu mendakwa bagi menutup perkara itu, sejumlah RM84,644.00 dikeluarkan, tetapi ianya tidak dinyatakan di dalam penyata akaun bulan Mac 2000.

Laporan itu mempertikaikan mengapa perlunya dikeluarkan wang deposit sebanyak RM30,000 sekiranya RM150,000 boleh disimpan di dalam Bank Perwira Affin dalam bulan yang sama.

Malah, menurut laporan juruaudit dalaman itu, tiada sebab bagi ahli jawatankuasa dan juruaudit luar tidak menyedari perkara itu.

Laporan polis

Menurut laporan polisnya, Manikavasagam mendakwa selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, juruaudit dalaman berkenaan telah dipecat oleh pihak kuil.

Manikavasagam telah turut berjumpa dengan Ketua Inspektor Wan Razi Aniza dari Jabatan Perdagangan Siasatan, Ibu Pejabat Kontijen Wilayah Persekutuan (IPK) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Separamaniam pula menafikan berlaku sebarang penyelewangan sepertimana yang didakwa terhadap ahli jawatankuasa kuil berkenaan.

"Kami telah tunjukkan peyata akaun sewaktu mesyuarat agung lalu, kepada lebih 250 ahli yang hadir. Jelas sekali mereka tidak merungut apa-apa. Kami sedia menunjukkan dokumen yang berkaitan untuk membuktikan kami tidak bersalah," tambahnya.

Beliau berkata, dakwaan itu berpunca daripada masalah peribadi di antara pihaknya dengan Subramaniam (juruaudit dalaman terbabit).

Seperamaniam juga memberitahu malaysiakini , yang pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Subramaniam, tidak lama lagi.