Bedah siasat 2: Krishnan mati kerana ulser perut
Laporan awal bedah siasat kedua ke atas M Krishnan, mangsa yang mati ketika dalam tahanan polis pada 7 Januari, adalah sama dengan laporan bedah siasat pertama yang menyatakan mangsa meninggal akibat ulser di perut.
Bagaimanapun menurut peguam keluarga Krishnan, Gurmit Singh Hullon berkata anak guamnya menolak keputusan bedah siasat kedua itu.
“Kami tidak senang dengan keputusan dan tidak dapat menerimanya kerana ia bercanggahan dengan bukti. Krishnan dibelasah, pukul dan dibiarkan mati dan dinafikan rawatan perubatan selama lima hari,” katanya.
Bedah siasat kedua itu dijalankan oleh ketua Unit Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Dr K Mathiharen atas permintaan keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasat pertama.
Balu Krishnan, P Revathi (
kanan
), 37, berkata kepada wartawan bahawa dia tidak boleh menerima keputusan bedah siasat yang terbaru itu dan berkeras mendakwa suaminya mati akibat dibelasah polis.
“Saya akan lawan perkara ini di mahkamah tidak kira berapa lama. Saya akan tunggu untuk keputusan bedah siasat pertama dan kedua,” katanya sambil menahan linangan air mati.
“Kita ada dua saksi yang lihat apa yang berlaku dan ada gambar menunjukkan lebam (di badan),” katanya.

