Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di Kuala Lumpur  hari ini atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari bagi tujuan eksploitasi, dua minggu lalu.

Yoong Thim Thai, 53, warga tempatan, dan Aling Athu, 36, seorang pendatang tanpa izin dari Indonesia, didakwa dengan niat bersama memperdagangkan bayi perempuan itu di tempat letak kereta, Pasar Raya Tesco Ampang, Ampang Jaya di Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang 14 Januari lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Yoong beserta syarat tambahan iaitu pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah, selain melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Bagi Aling, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan dia merupakan pendatang tanpa izin.

Yoong, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai elektrik ketika rayuannya, memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia sudah tua.

Hakim Roszianayati Ahmad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Yoong beserta syarat tambahan.

Beliau menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan kes dan bagi kedua-dua tertuduh melantik peguam.

Bernama , pada 18 Januari lalu melaporkan pihak polis berjaya menahan lapan wanita termasuk empat rakyat asing dan seorang lelaki iaitu anak kepada seorang suspek warga asing yang disyaki menjadi dalang sindiket menjual bayi di sekitar Lembah Klang.

Penahanan itu dibuat menerusi tiga serbuan berasingan pada 14 dan 15 Januari lalu, masing-masing di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Ampang, sebuah klinik swasta di Selayang dan di sebuah rumah seorang suspek di Subang Jaya.

- Bernama