Kerajaan pusat sepatutnya merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengeluarkan lesen kasino di Bukit Tinggi, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar.

Katanya, ini kerana majlis tersebut bertanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa-fatwa yang sahih dan tepat untuk rujukan kerajaan.

Kasino Bukit Tinggi adalah kasino kedua di negara ini, yang akan memberi saingan kepada kasino Genting Highlands. Kedua-dua kasino ini terletak di negeri Pahang. PAS pernah berkata bahawa ia akan menutup kasino Genting Highlands sekiranya parti itu berkuasa di negeri tersebut.

"Saya percaya majlis tersebut harus berunding dengan kerajaan mengenai isu perjudian yang diharamkan oleh Islam", katanya.

Menurut Mahfuz, perjudian sebenarnya dibantah oleh ramai orang, termasuk ahli Parlimen dan masyarakat bukan Islam sendiri kerana ia tidak memberi sebarang kebaikan.

Sebagai buktinya, kata beliau, DAP sendiri pernah meminta kerajaan memohon maaf kepada masyarakat kaum Cina kerana anggapan salah bahawa kehidupan mereka berlatarbelakangkan perjudiaan.

"Kita kena maju dengan ilmu dan maklumat, bukan nasib!", tambah Mahfuz.

Prinsip moral

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya menekankan aspek sensiviti sebenar masyarakat bagi melahirkan rakyat yang bermoral dan bukan mengajar rakyat untuk cepat kaya melalui perjudian.

Mahfuz berkata, walaupun pembukaan kasino itu dikaitkan dengan aspek pelancongan tetapi beliau menegaskan fokus perlancongan itu mestilah berasaskan keunikan negara ini, dan bukan perjudian semata-mata.

"Adakah negara kita harus bergantung kepada sumber pendapatan daripada perjudian?" soalnya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kubang Kerian, Husham Musa pula menegur tindakan kerajaan mengeluarkan lesen baru kasino kerana premis perjudian ada setakat ini sudah mencukupi.

Malah, katanya, kerajaan telah membelakangkan prinsip moral dengan memberi pelbagai alasan berhubung pengeluaran lesen kasino di Bukit Tinggi.

Sehubungan itu, Husham berkata, beliau akan menerbitkan sebuah buku yang bertajuk "Siapa yang bertanggungjawab meluluskan perjudian?".

Amanah

Katanya, buku itu mengandungi analisis perjudian seperti profail kaki judi, kedudukan kewangan mereka dan kesannya terhadap ekonomi negara.

Sementara itu, ketua penerangan PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kerajaan Umno Pahang "mengkhianati amanah" majoriti rakyat apabila membenarkan bumi Pahang dijadikan premis pusat perjudian negara.

Harakah

o­nline memetik beliau sebagai berkata, perbuatan pemimpin Umno yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakub yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama membuktikan sejauhmana keikhlasan beliau terhadap agamanya.

Malah, kata Tuan Ibrahim, Pahang adalah satu-satunya negeri yang mempunyai dua Exco Agama tetapi malangnya kedua-duanya bukan menghalang pertambahan pusat perjudian tetapi menambahnya dari satu kepada dua buah.

"Kedua-duanya gagal, bukan menghalang pusat perjudian, sebaliknya menambah dari satu kepada dua," katanya.

Jenayah

Selain itu, katanya, kerajaan Umno Pahang juga memberi kelulusan segera membabitkan beribu-ribu ekar tanah di kawasan tanah tinggi kepada syarikat-syarikat terbabit, sedangkan permohonan rakyat untuk mendapatkan tanah mengambil tempoh yang lama untuk diluluskan.

Tuan Ibrahim mengingatkan pemimpin Umno supaya menilai diri sendiri, lebih-lebih lagi apabila mereka banyak bercakap soal agama dan sering mendakwa apa yang kerajaan lakukan bertepatan menurut ajaran Islam.

"Adakah dengan membenarkan pusat judi di negeri ini menurut ajaran Islam atau telahpun di rujuk kepada Majlis Fatwa," soal beliau.

Katanya PAS melihat perbuatan kerajaan Umno Pahang ini sebagai "jenayah" terhadap rakyat negeri dan orang Melayu yang memberi kemenangan kepada Umno/BN untuk memerintah.

Oleh kerana manjoriti rakyat dinegeri ini adalah orang Islam, Tuah Ibrahim berkata, kerajaan Umno Pahang seharusnya menghormati hak majoriti bukannya menjaga kepentingan minoriti "kaki judi".