Pihak polis ini menjelaskan bahawa kes penjualan tiket palsu di Kuil Sri Mahamariamman, di Batu Caves memerlukan penyiasatan yang rapi dan terperinci.

Oleh itu, pihak polis memerlukan tempoh yang lama untuk menyiapkan siasatannya, kata Ketua Bahagian Siasatan Polis Daerah Gombak, Timbalan Penguasa (DSP) Wan Zainuddin Wan Mahmood.

Beliau menjelaskan demikian dalam suratnya kepada pengerusi Biro Khidmat dan Aduan Rakyat, Parti Keadilan, S Manikavasagam bertarikh 24 April lalu.

Bagaimanapun, Manikavasagam yang juga Exco Pemuda Keadilan Pusat, hanya menerima surat itu semalam.

Menurut DSP Wan Zainuddin, pihaknya telahpun menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Manikavasagam berhubung kes tersebut pada 27 Januari lalu.

"Kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu). Kes seumpama itu memerlukan penyiasatan yang rapi dan terperinci," kata Wan Zainuddin dalam suratnya.

Demonstrasi

"Ia bukanlah sesuatu kes yang mudah untuk diselesaikan dalam jangkamasa yang singkat kerana banyak pihak yang terlibat dan pihak polis memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan sedikit masa lagi," tambah Wan Zainuddin dalam suratnya itu.

Sebelum itu, Manikavasagam berkata beliau sudah berkali-kali menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat terkini siasatan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya diberitahu sehingga ini siasatan kes itu 65 peratus siap disiasat.

Pada 7 Mei lalu, Manikavasagam berkata satu siri demonstrasi akan diadakan terhadap ahli jawatankuasa kuil tersebut jika tiada tindakan diambil terhadap mereka yang disyaki menjual tiket palsu kepada pembawa kavadi susu sewaktu perayaan Thaipusam yang lalu.

Beliau mendakwa sehingga ini, belum ada lagi tindakan diambil terhadap dua orang yang disyaki melakukan perbuatan itu.

Demonstrasi itu dirancang untuk diadakan pada bulan ini di Batu Caves atau di hadapan Kuil Sri Mariamman, Kuala Lumpur.