NGO mahu kaji kesan tanding dalam pilihanraya
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mahu mengkaji terlebih dahulu kesan jika perjuangan mereka dicampuradukkan dengan politik.
Mengulas laporan sebuah akhbar tempatan bahawa NGO dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, mereka berpendapat, kajian itu perlu kerana khuatirkan kesan negatif terhadap perpaduan yang dibina di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Oleh itu, NGO terbabit mahu terus berpegang kepada dasar berkecuali dalam memperjuangkan matlamat penubuhan mereka.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mahu mengkaji terlebih dahulu kesan jika perjuangan mereka dicampuradukkan dengan politik.
Mengulas laporan sebuah akhbar tempatan bahawa NGO dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, mereka berpendapat, kajian itu perlu kerana khuatirkan kesan negatif terhadap perpaduan yang dibina di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Oleh itu, NGO terbabit mahu terus berpegang kepada dasar berkecuali dalam memperjuangkan matlamat penubuhan mereka.
Mengikut cadangan SPR itu, NGO yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan dan juga dengan SPR dibenarkan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, pihaknya memberi kebebasan kepada ahli-ahlinya untuk melibatkan diri dalam parti politik.
"Itu hak mereka. Abim tidak menyekat hak sesiapa yang melibatkan diri dalam politik," kata presidennya, Ahmad Azam Abdul Rahman.
Perubahan drastik
Katanya, Abim mangamalkan dasar tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
Bagaimanapun, katanya, Abim akan mengkaji dahulu cadangan SPR itu untuk mengetahui manfaatnya kepada masyarakat dan negara.
Ditanya kemungkinan beliau akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, Ahmad Azam berkata: "Kami sebenarnya tidak ada peraturan seperti itu sehingga kini, tetapi kalau ada apa-apa rombakkan dibuat dalam persidangan tahunan nanti, kita tengoklah dulu".
Katanya, penyertaan NGO dalam pilihanraya merupakan satu perubahan drastik yang akan merubah landskap politik negara.
"Sebarang keputusan untuk bertanding akan bergantung kepada perbincangan ahlinya dalam Muktamar Abim, memandangkan ia sebuah badan dakwah yang berpegang kepada dasar berkecuali," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata pihaknya tidak akan berganjak dari matlamat asal penubuhannya sebagai sebuah gerakan bukan kerajaan yang berkhidmat demi pembangunan pendidikan.
Amalan demokrasi
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang terbaik dan terbuka.
"Inilah kelebihan Malaysia, memberi kebebasan untuk bertanding walaupun kepada badan bukan kerajaan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, GPMS tidak akan mengambil bahagian dalam pilihanraya umum, tetapi akan sentiasa menyokong kerajaan menerusi Umno.
Manakala pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel berkata, Suaram tidak akan bertanding dalam pilihanraya tetapi makan terus membantu SPR dalam memastikan proses itu berjalan secara adil dan bebas dari gejala rasuah dan penipuan.
"Tugas sebagai pemantau pilihanraya dan pengundi, akan tetap kami lakukan," kata Cynthia.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Senator Zainal Rampak pula berkata badan itu tidak bercadang untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang kerana ia lebih mementingkan untuk memberi tumpuan ke atas perjuangan kebajikan dan kepentingan kaum pekerja.
Badan bukan politik
"Saya tidak mahu perpecahan berlaku dalam MTUC memandangkan ahli-ahlinya terdiri daripada golongan pelbagai politik," katanya.
Bagaimanapun, katanya MTUC tidak akan menyekat ahlinya yang ingin bertanding atas tiket persendirian atau parti politik kerana ia adalah hak setiap individu yang telah ditentukan oleh Perlembagaan.
Manakala Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pula menegaskan ahlinya perlu meletak jawatan, sekalipun di peringkat cawangan sekiranya ingin bertanding dalam pilihanraya.
Setiausaha Agungnya N Marimuthu berkata matlamat Fomca sebagai sebuah badan bukan politik amat jelas sejak 30 tahun yang lalu.
"Ia satu keputusan yang tidak sihat jika Fomca bertanding...ini akan menjejaskan tugas utama kami iaitu memperjuangkan hak pengguna," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.