Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan sebagai "melucukan" saranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya badan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan, dibolehkan bertanding dalam pilihanraya umum dengan syarat mereka mendaftar dengan SPR.

"Lebih 20 parti politik telah memohon untuk didaftarkan sebagai parti politik, tetapi permohonan mereka sama ada disimpan atau atau tidak diluluskan," kata setiausaha agung penaja PSM, S Arutchelvan.

Malah, katanya, PSM sendiri telah mengemukakan permohonan untuk pendaftaran pada 1 Mei 1998 sebagai menyahut cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad supaya NGO menubuhkan parti politik jika mereka mahu menentang kerajaan.

"Kami telah menyahut cabaran itu, tetapi permohonan pendaftaran kami telah ditolak atas alasan teknikal dan isu-isu keselamatan negara," tegas beliau dalam kenyataannya kelmarin.

Bukan baru

Sebaliknya, beliau mendakwa, permohonan parti-parti politik yang ada kaitan dengan parti pemerintah seperti Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Demokratik Sabah (PDS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), telah diluluskan dalam tempoh beberapa hari, atau selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu sahaja.

Arutchelvan mendakwa ia menunjukkan bahawa pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengamalkan sikap dwi-standard dan dipengaruhi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, berikutan kesukaran itu, banyak NGO yang didaftarkan sebagai syarikat perniagaan.

"Dan kini, perdana menteri dan timbalannya sekali lagi mengulanginya apabila SPR mencadangkan supaya NGO didaftar di bawah Akta Pertubuhan dan bertanding dalam pilihanraya", kata Arutchelvan.

Katanya, Pendaftar Pertubuhan dan KDN telah hilang kewibawaannya dan tidak bersikap adil apabila mengendalikan permohonan pendaftaran parti politik.

"PSM ingin mengulangi pendirian kami bahawa proses pendaftaran parti politik harus diserahkan kepada SPR dan bukannya Pendaftar Pertubuhan," tegasnya.

Oleh kerana Perlembagaan Negara memberi hak kebebasan berpersatuan, maka Arutchelvan menyifatkan penafian pendaftaran PSM dan parti-parti lain supaya dapat mengambil bahagian dalam pilihanraya, sebagai contoh buruk terhadap demokrasi dan hak asasi manusia.