Polis memberi jaminan persiapan logistik dan aspek keselamatan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak sudah siap sepenuhnya dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Khalid Abu Bakar, berkata latihan persiapan menghadapi pilihan raya itu yang membabitkan anggota dan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dilakukan sepenuhnya dan kini hanya di peringkat memperkemaskan lagi segala kelengkapan.

"Kita sudah bersedia daripada semua aspek dan hanya menunggu pengumuman dibuat untuk digerakkan keanggotaan dan logistik termasuk segala peralatan-peralatan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pilihan raya itu nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khalid, yang kini berada di Kuching bagi memantau persiapan itu bagaimanapun enggan mengulas tentang jumlah keanggotaan yang akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran pilihan raya itu nanti.

"Saya beri jaminan, keanggotaan mencukupi untuk digerakkan bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya dan keselamatan pengundi-pengundi di sana," katanya.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan Jumaat ini.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menafikan beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Jumaat ini bagi mendapatkan kebenaran membubarkan DUN yang mempunyai 71 kerusi.

Mandat kerajaan Sarawak akan tamat pada Julai ini.

- Bernama