Biar polis siasat Sultan Sulu, kata Musa Aman
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, hari ini meminta semua pihak membiarkan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu rakyat Malaysia ditabal sebagai Sultan Sulu.
"Seperti yang anda tahu, kerajaan kita tidak mengiktiraf Kesultanan Sulu. Jadi biar pihak berkaitan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya ketika mengulas perkara itu di Kota Kinabalu.
Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri juga meminta mereka yang berkenaan agar tidak memanjangkan isu tersebut.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyuarakan bantahan apabila seorang rakyat Sabah, Datu Mohd Akjan Ali Muhammad yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dilapor ditabal sebagai Sultan Sulu yang baru awal bulan ini.
Isu tersebut kini disiasat polis mengikut ISA dan Kanun Keseksaan kerana menyebarkan maklumat palsu berikutan laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap Mohd Akjan.
- Bernama

