Hak penjagaan: Bi-Anne mahu hak bersuara
Low Bi-Anne yang berusia 11 tahun mahukan hak bersuara ketika perkara berhubung hak penjagaan dirinya didengar di Mahkamah Rayuan.
Oleh yang demikian, satu permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk melantik pekerja sosial, B Vijayakumari G A Pillai, 60, sebagai wakil lantikan mahkamah untuk Bi Anne.
(Wakil lantikan mahkamah ialah seorang sukarelawan yang dilantik oleh mahkamah untuk melindungi hak dan menjaga kepentingan seorang kanak-kanak dalam prosiding mahkamah).
Permohonan itu dijadual didengar di hadapan seorang Penolong Pendaftar Kanan pada Jumaat (18 Februari).
Mengikut undang-undang, wakil lantikan mahkamah diperlukan untuk mewakili kanak-kanak itu bagi membolehkannya mendapat locus standi untuk hadir dan turut serta dalam prosiding mahkamah.
Permohonan itu difailkan mengikut Kaedah 86(1) (b) dan (2), Kaedah-Kaedah Prosiding Perceraian dan Hal-Ehwal Suami Isteri, 1980 dan Aturan 76 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 oleh peguam Jagjit Singh pada 9 November tahun lalu.
Dalam permohonan itu, Jagjit Singh berkata, presiden Persatuan "Please Save the Child" yang telah membaca mengenai kes Bi-Anne dalam akhbar tempatan telah datang bertemunya.
Katanya, beliau kemudian menghubungi peguam yang mewakili bapa Bi-Anne, Low Swee Siong untuk mendapatkan kebenaran untuk bercakap dengan budak perempuan itu.
Selepas itu, katanya, Bi-Anne telah bertemu dengan Vijayakumari di Persatuan "Please Save the Child" dan "menyuarakan hasrat hatinya yang sehingga kini tidak pernah diambil kira oleh mahkamah".
Katanya, kanak-kanak itu, yang menjadi subjek utama dalam prosiding mahkamah di Mahkamah Rayuan, telah menyuarakan hasratnya supaya Vijayakumari dilantik sebagai wakilnya untuk menjaga kepentingannya dalam prosiding mahkamah.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Vijayakumari berkata, Bi-Anne telah menyatakan yang dirinya mahu tinggal bersama bapanya dan sekiranya mahkamah menerima beliau (Vijayakumari) sebagai wakil Bi-Anne, beliau (Vijayakumari) akan bercakap bagi pihak budak perempuan itu.
Terdapat enam rayuan dikemukakan oleh Swee Siong, 40, perunding hartanah, di mahkamah rayuan berhubung keputusan Mahkamah Keluarga.
Antara keputusan Mahkamah Keluarga ialah membenarkan ibu Bi-Anne, Tan Siew Siew, 37, pengurus restoran di London, membawa budak perempuan itu (Bi-Anne) ke Britain; memerintahkan penyerahan pasport budak perempuan itu; menolak hak akses sementara Swee Siong ke atas budak perempuan itu; dan mendapati dan mensabitkan Swee Siong bagi kesalahan menghina mahkamah dan enggan memberikan perintah penangguhan.
Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Wira Low Hop Bing menangguhkan pendengaran rayuan itu ke 2 Mac selepas peguam K Bowanes memaklumkan mahkamah yang beliau menerima arahan daripada Tan untuk menarik diri daripada mewakilinya (Tan) berhubung perkara itu di mahkamah berkenaan.
Hakim Low (Low Hop Bing) mengarahkan Tan melantik peguam baru pilihannya pada atau sebelum tarikh pendengaran akan datang untuk mewakilinya dalam enam rayuan itu.
Terdahulu, panel berkenaan yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali enggan menimbangkan beberapa dokumen yang dikemukakan kepada mereka oleh saudara lelaki Tan melalui penolong pendaftar kanan.
Hakim Low, ketika memerintahkan supaya dokumen berkenaan dipulangkan, berkata dokumen berkenaan tidak difailkan dengan betul di mahkamah mengikut Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994. Tidak diketahui isi kandungan dokumen berkenaan.
Panel itu juga menolak permohonan Swee Siong bagi penangguhan sementara bayaran denda sementara menunggu kes rayuan itu selesai.
Pada 13 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendenda Swee Siong RM20,000 dan RM400 bagi setiap hari lewat dalam penyerahan budak perempuan itu kepada Tan, kerana kesalahan tidak mematuhi perintah mahkamah supaya beliau menyerahkan Bi-Anne kepada bekas isterinya itu.
Swee Siong dan Tan berkahwin pada 1999. Pasangan itu bercerai pada 2006, dan hak penjagaan ke atas Bi-Anne diserahkan kepada bapanya.
Dua tahun kemudian (pada 2008), Tan, 37, memohon dan memenangi hak penjagaan dan Swee Siong diberikan hak lawatan yang munasabah.
Bagaimanapun, Bi-Anne enggan tinggal bersama ibunya dan berkeras untuk tinggal dengan bapanya.
Pada 28 Januari tahun ini, ibu bapa Bi-Anne gagal menyelesaikan secara baik melalui perantara berhubung hak penjagaan budak perempuan itu.
- Bernama

