Agensi kerajaan tiada perangkaan lengkap
Kajian Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), "Working Together Towards Better Services for Rape Survivors", mendapati institusi-institusi yang mengendalikan kes rogol seperti mahkamah, polis dan jabatan kebajikan tidak mempunyai rekod yang kemaskini.
"Perangkaan di peringkat kebangsaan bagi kejadian rogol sangat sukar diperolehi. Sebelum 1993, polis dan juga jabatan kebajikan tidak menyediakan perangkaan lengkap kes-kes yang dirujukkan kepada mereka," jelas laporan itu.
Hanya pada 1993, melalui inisiatif DSP Chong Fui Fong, pihak polis mula mengumpulkan data tentang bilangan serta profil mangsa dan perogol. Jabatan kebajikan pula mula mengumpulkan data hanya sejak 1997.
Pejabat Peguam Negara atau mahkamah juga tidak mempunyai data-data lengkap bilangan kes rogol yang pernah mereka kendalikan setiap tahun. Semua jenis jenayah - bermula kes rompak, rogol dan bunuh - semuanya dilonggokkan sekali gus.
Namun begitu, Awam berjaya meneliti semula kes-kes rogol di mahkamah mulai 1994 hingga 1997. Sebanyak lapan mahkamah rendah di tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan sempat diteliti oleh pertubuhan wanita ini yang lantang memperjuangkan isu-isu keganasan rumah tangga, layanan dan pembelaan ke atas wanita. Badan bukan kerajaan ini, bagi menyiapkan laporan tersebut, sempat mengkaji 417 fail mahkamah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.