Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib, Rosmah ke Turki untuk lawatan rasmi
Diterbitkan:  Feb 21, 2011 11:33 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlepas ke Turki pagi ini untuk lawatan rasmi tiga hari, bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

Najib, yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dengan pesawat kerajaan pada 9.30 pagi dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Lawatan sulung Perdana Menteri itu akan berlangsung di Ankara dan Istanbul.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kabinet dan anggota parlimen adalah di antara mereka yang mengucapkan selamat jalan kepada beliau di lapangan terbang itu.

Di Ankara, agenda lawatan Najib termasuk pertemuan peribadi dengan rakan sejawatan beliau, Recep Tayyip Erdogan, dan menyertai mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Turki.

Najib juga dijadual menyaksikan upacara pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan KOSGEB (Pertubuhan Pembangunan Syarikat Kecil dan Sederhana) Turki dan perjanjian antara DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd Malaysia dan FNSS Savunma Sistemleri AS, Turki.

Di Istanbul, Najib akan melakukan kunjungan terhadap Presiden Abdullah Gul dan dijadual mengambil bahagian dalam rundingan meja bulat perniagaan Malaysia-Turki anjuran Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (Mida) dan Pergerakan Sejagat bagi Keadilan, Keamanan dan Maruah anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan International Movement for a Just World.

- Bernama

ADS