Wakil 24 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pembangkang, gagal menyerahkan memorandum menentang perang di Aceh apabila Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur enggan menghantar pegawai untuk menerimanya.

Lebih 50 pemimpin dan ahli NGO terbabit berkumpul secara aman di depan bangunan kedutaan untuk sambil memegang tujuh sepanduk yang bertulis "Hentikan Perang, Perpaduan untuk Acheh".

Perhimpunan itu diawasi lebih 20 anggota polis dan polis trafik bagi mengelak berlaku sebarang kekecohan dan kesesakan lalulintas.

Temujani

Wakil Suaram, Yap Swee Seng ( tengah ) memberitahu malaysiakini , mereka telah membuat temujanji untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan pada jam 2 petang oleh lima wakil dari NGO terbabit serta parti komponen Barisan Alterntif (BA).

Bagaimanapun, setiba mereka di kedutaan tersebut, pegawai keselamatan di situ memberitahu mereka yang tiada pegawai yang akan datang untuk menerima memorandom itu.

Sebaliknya, mereka diminta menyerahkan memorandum itu pihak keselamatan di kedutaan itu.

Bagaimanapun, Yap berkata, pihaknya tidak akan menghantar memorandum itu melainkan kepada pegawai yang berkenaan.

Tarik balik tentera

Memorandum itu mengandungi gesaan, yang antaranya, meminta kerajaan Indonesia supaya menarik balik pengisytihan perang dan penguatkuasaan undang-undang tentera di Aceh.

Di samping itu, memorandum tersebut meminta supaya kedua-dua pihak yang bertelingkah kembali semula ke meja rundingan dan mencari penyelesaian secara aman.

Ia juga menggesa ditubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat serangan dan pembunuhan di pejabat Jawatankuasa Bersama Keselamatan (JSC) yang dianggotai wakil Pergerakan Pembebasan Aceh (GAM), wakil kerajaan Indonesia dan pemerhati dari Thailand, Filipina dan Norway.

Selain menggesa supaya dibebaskan segera tanpa syarat tahanan politik, mereka juga meminta supaya dibenarkan kebebasan bersuara dan berhimpun bagi membolehkan masyarakat di Aceh menyuarakan aspirasi politik mereka.

Sementara itu Dr Mohd Nasir Hashim dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata perang Timur Timur telah mengorbankan lebih setengah juta nyawa dan ianya tidak harus berulang di Aceh.

Manakala naib presiden Keadilan, Dr Xavier Jayakumar pula mahu semua negara Asean turut berusaha untuk menghentikan peperangan di Aceh.

Selepas menunggu selama 40 minit, kesemua yang hadir telah beredar meninggalkan kedutaan tersebut.