Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPMM) telah mempercepatkan kelulusan penubuhan persatuan berbentuk kebajikan dalam tempoh hanya lima hari berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

Ketua Pengarah JPPM, Datuk Abdul Rahman Othman berkata ini berikutan JPPM negeri telah diberi kuasa untuk meluluskan penubuhan persatuan di negeri masing-masing sejak 16 Februari lalu.

"Negeri-negeri lebih tahu tentang sesuatu persatuan. Lagipun persatuan hendak buat kerja kebajikan, biarlah kita percepatkan proses itu," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, urusan pendaftaran pertubuhan kebajikan juga akan lebih "mesra rakyat" dengan pegawai JPPM dan wakil pertubuhan akan duduk semeja untuk membuat urusan.

"Kita duduk bersama dan berbincang. Mereka boleh menyatakan hasrat mereka kepada JPPM dan hantar borang ketika itu juga. Kemudian kita memberi kelulusan dalam masa lima hari," katanya.

Bagaimanapun Abdul Rahman berkata proses kelulusan yang cepat itu tidak diberikan kepada pertubuhan lain termasuk parti politik.

Beliau menasihatkan pihak yang ingin menubuhkan parti politik baru agar bergabung dan berjuang menerusi badan bukan kerajaan (NGO).

"Sekarang sudah ada 33 parti politik berdaftar dengan JPPM. Jadi yang ingin menubuhkan parti baru boleh pergi kepada NGO kerana ia lebih mudah dan anda boleh berjuang menerusi NGO," katanya.

Katanya, sejak 2008 hingga 2010 sebanyak 25 permohonan penubuhan parti politik masih belum diluluskan.

"Saya rasa 33 parti politik sudah memadai," katanya.

- Bernama