Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Empat puluh pengusaha penternakan lembu feedlot berkelompok di Lanchang, Melaka kecewa apabila pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) menahan sebahagian besar wang pinjaman mereka daripada nilai keseluruhan kira-kira RM1.2 juta, meskipun ia sudahpun diluluskan pihak terbabit.

Ketua projek berkenaan, Fahruzridza Jaafar, 34, berkata, jumlah tersebut berdasarkan setiap pengusaha melakukan pinjaman berjumlah RM30,000.

tekun protest Menurutnya, segala-galanya bermula pada 1997, apabila beliau dicadangkan oleh ahli parlimen Jasin ketika itu, Datuk Mohd Said Yusof supaya menjalankan projek ternakan lembu dengan mencari satu tapak sesuai.

Fahruzridza yang juga pengerusi Persatuan Seni Silat Langkah Bromo (PSSLB) berkata, beliau telah mengambil peluang itu dan juga menyarankan 39 ahlinya yang lain supaya menyambut  peluang itu bagi menjayakan projek ternakan lembu mereka.

"Secara kebetulan ketika itu sejak tahun 2005, saya memang ada memajak tanah di Semujuk, Sungai Rambai dengan keluasan kira-kira 3 ekar lebih bagi penanaman pisang dan sebaik muncul projek itu saya telah korbankan projek tanam pisang lalu bertukar kepada ternakan lembu.

Projek tertangguh

"Dalam masa yang sama kami terus memohon untuk pinjaman daripada TEKUN dengan berbekalkan segala sokongan daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar Melaka, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Akhirnya, kelulusan kami perolehi pada 28 Januari 2008 dan sebagai fasa awal TEKUN  telah mengeluarkan sebahagian daripada pinjaman terbabit kepada kami yang berjumlah RM416,875 untuk menjalankan projek itu.

"Tetapi malangnya projek itu tertangguh selama lapan bulan apabila mendapat bantahan daripada penduduk kampung di Semujuk dengan alasan projek berkenaan tidak sesuai dilakukan di kawasan terbabit.

"Kami hairan mengapa mereka tidak menyokong sedangkan ada pusat ternakan lain, malah saiznya jauh lebih besar terletak bersebelahan kawasan tempat kami merancang untuk projek berkenaan," katanya ketika ditemui di rumah seorang daripada peserta projek berkenaan di Jasin.

Fahruzridza berkata, dengan bantuan ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman, pihaknya cuba mencari jalan menyelesaikan perkara itu sehingga akhirnya terpaksa memindahkan projek berkenaan dari Semujuk ke Lanchang dengan keluasan tanah kira-kira lapan ekar.

"Kami berdepan masalah apabila jumlah pinjaman awal adalah untuk dimanfaatkan untuk tanah di Semujuk yang sudah tersedia beberapa kemudahan seperti laluan tambak, saliran, tanah yang sudah diratakan dan pondok pekerja.

"Ia berbeza dengan tanah di Lanchang yang saiznya jauh lebih besar dan ditambah pula tiada sebarang kemudahan berkenaan di mana kami terpaksa keluarkan belanja yang besar untuk meratakan tanah, buat saliran, kandang, jalan dan pelbagai lagi.

"Ketika projek menyediakan kandang sudah hampir siap, kami cuba untuk memohon agar pihak Tekun mengeluarkan sebahagian lagi pinjaman yang sepatutnya untuk memasuki sejumlah lembu tetapi malangnya mereka enggan atas alasan kandang yang dibuat tidak mengikut spesifikasi.

Dibiarkan terus hanyut

"Kami hairan mengapakah TEKUN boleh mempersoalkan pasal spesifikasi, sedangkan perkara itu sepatutnya dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan lagi pun sebelum itu pun pihak Tekun tiada pun sentuh soal sebarang spesifikasi.

"Menurut TEKUN lagi, jumlah pinjaman yang diberi kepada kami sepatutnya sudah mencukupi biarpun peringkat awalnya mereka sudah luluskan RM1.2 juta.

Menurut Fahruzridza, dia kesal kerana setiap langkah yang dilakukan adalah atas nasihat Jabatan Haiwan dan Jabatan Kesihatan tetapi malangnya Tekun memberi alasan berkenaan.

"Beberapa mesyuarat yang di pengerusikan wakil rakyat kawasan pada awalnya TEKUN bersetuju untuk mengeluarkan sebahagian lagi baki pinjaman tetapi malangnya mereka mencabul keputusan mesyuarat.

"Projek kami akhirnya tergantung sehingga kini dan lebih malang lagi usaha kami untuk menemui pelbagai pihak berolehi kehampaan termasuk mengadukan masalah berkenaan di Jabatan Perdana Menteri, sehingga kini masih belum ada jawapan," katanya.

Fahruzridza berkata, dia bersama 39 rakannya yang lain berusia antara 21 hingga 40 tahun berasa kecewa dengan tindakan pihak TEKUN dan menganggap itu satu penganiayaan.

"Bayangkan mereka dah luluskan RM1.2 juta kepada kami tetapi hanya beri kami RM416,875 sahaja. Bagaimana kami nak teruskan projek ini. Semua kami sudah laksanakan, cuma hanya menunggu masuk lembunya sahaja.

"Lebih malang lagi, mereka mengarahkan kami memulang baki pinjaman berjumlah RM735,605 sedangkan kami tidak perolehi pun duit pinjaman berkenaan.

"Selain itu, kini kami diarah untuk membayar pinjaman untuk setiap peserta berjumlah RM14,000 dan sekiranya kami gagal nama kami semua akan disenarai hitamkan.

"Sikap TEKUN  yang jelas mahu membunuh kami amat dikesali bagaikan sengaja membina kapal di tengah lautan tetapi tidak menyiapkan layarnya dan kami terus hanyut," katanya.

ADS