Senarai produk positif DNA babi akan diumum
Senarai nama produk farmaseutikal tempatan yang didapati positif mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi akan diumumkan bagi memastikan umat Islam tidak terbeli produk itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, usaha juga sedang diambil bagi produk dibungkus dengan kapsul gelatin positif DNA babi itu tidak dibenarkan dijual di kaunter terbuka di semua premis seluruh negara.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat semakan terhadap produk farmaseutikal berkenaan untuk disenaraikan.
"Senarai produk ini juga akan diumumkan sebagai produk haram kepada umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Sekolah Kebangsaan Gurun, di Gurun, hari ini.
- Bernam a

