ADUN Padungan yakin pertahankan kerusinya
ADUN Padungan Dominique Ng menafikan ura-ura bahawa beliau tidak akan dibenar mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.
Mengikut khabar angin PKR akan menggugurkannya kerana pergeseranya dengan beberapa pemimpin negeri DAP.
Namun menurut Ng, yang juga adalah penasihat PKR Sarawak, pemimpin kebangsaan parti berkenaan telah memberi jaminan kepadanya berhubung pencalonannya.
“Setiap pemimpin kebangsaan yang diajukan soalan berkenaan telah memberi jawapan yang sama,” katanya di Kuching, baru-baru ini.
"Telah menjadi polisi Pakatan Rakyat, di mana parti yang menang sesuatu kerusi diberi hak mempertahankannya. Justeru, tidak ada asas (yang kita akan menyerahkan Padungan) memandang ini kerusi tunggal kami (PKR) di Malaysia Timur.”
Khabar angin itu dipercayai berpunca daripada penyokong DAP yang dikatakan masih tidak berpuas hati dengan Ng kerana secara terbuka menyokong calon Bebas pada pilihan raya umum 2008 di kerusi parlimen Sarikei.
Pada pertandingan itu, calon DAP hanya tewas dengan 51 undi manakala calon Bebas berkenaan mendapat 500 undi. Ketika itu, Ng adalah ketua PKR Sarawak dan rundingan mengagihkan kerusi dengan DAP menemui jalan buntu.

