Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taib membisu resolusi desak anak jadi calon
Diterbitkan:  Mar 9, 2011 3:34 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud terus membisu mengenai sama ada anak sulungnya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir akan diletakkan sebagai calon BN untuk kerusi Sadong Jaya pada pilihan raya negeri yang ke-10 tidak lama lagi.

    

Bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Tenis  Sarawak (SLTA) yang diketuai presidennya Patrick Liew, di pejabatnya di Kuching hari ini, Abdul Taib berkata, calon bagi Sadong Jaya dan begitu juga dengan calon-calon BN yang lain akan diketahui semasa hari penamaan.

NONE "Saya akan buat keputusan akhir dan mencadangkannya kepada perdana menteri," katanya ketika mengulas mengenai resolusi dan cadangan oleh 113 penduduk dari 13 kampung dari Sadong Jaya, kubu kuat BN, mahukan anak sulung Taib itu yang juga timbalan pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) sebagai wakil mereka menggantikan penyandang Datuk Wan Wahab Wan Sanusi.

    

Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi BN Sarawak berkata ini bukan kali pertama para penyokong BN melobi untuk Mahmud agar dicalonkan sebagai wakil mereka kerana ada permintaan yang sama dibuat semasa pilihan raya daripada penduduk di Samarahan dan malah di Mukah.

    

Ketika ditanya sama ada Mahmud telah menyatakan kesediaan untuk menyertai politik, Abdul Taib berkata: "Kamu perlu tanya dia,". Bagaimanapun, selepas itu beliau mendedahkan bahawa Mahmud pernah melahirkan rasa ragu-ragu menjadi ahli politik memandangkan mempunyai "seorang adik dalam politik sudah mencukupi."

Isnin lepas, Ketua Kampung Semera Hilir Ain Mahli yang mengetuai kumpulan itu menyerahkan rsolusi dan cadangan kepada setiausaha eksekutif PBB Awang Bujang Awang Antek di ibu pejabat PBB di Jalan Bako, di sini.

    

Resolusi itu mengandungi permintaan agar kepimpinan PBB meletakkan seorang pemimpin yang boleh membawa perubahan yang diperlukan kepada Sadong Jaya dengan Mahmud memenuhi kriteria itu.

    

Adik Mahmud, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib adalah ahli parlimen Kota Samarahan dan bekas timbalan menteri pelancongan.

    

Selain daripada Mahmud dan Sulaiman, anak sulung dalam keluarga Abdul Taib adalah anak perempuannya Jamilah Hamidah dan yang bungsu Hanifah Hajar.

Wan Abdul Wahab adalah wakil rakyat Sadong Jaya bagi lima penggal dan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada November tahun lepas, beliau melahirkan hasratnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri akan datang yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

- Bernama

ADS