Ketepikan fahaman politik dalam agih zakat: Sultan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menitahkan supaya agihan zakat di negeri itu dijalankan secara adil dan telus tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik seseorang.
"Seandainya seseorang itu layak, maka mereka hendaklah dibantu sebagaimana sepatutnya," titah baginda ketika merasmikan Ibu Pejabat LZS di Shah Alam, hari ini.
Baginda mahu Lembaga Zakat Selangor (LZS) merancang dan mencari kaedah terbaik agar agihan zakat dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan kepada golongan yang memerlukan di negeri itu.
Baginda berharap zakat di Selangor diutamakan untuk menolong rakyat miskin di negeri itu selain membantu rakyat di negeri-negeri lain yang layak menerimanya.
"Kekayaan yang melimpah ruah di Selangor ini tidak sepatutnya hanya berlegar-legar di Selangor saja dan atas dasar itulah beta mengambil berat dan prihatin misalnya dengan menyalurkan bantuan zakat kepada negeri-negeri yang dilanda banjir baru-baru ini seperti Kedah, Perlis dan Johor.
"Beta melihat ia adalah satu tanggungjawab Majlis Agama Islam Selangor dalam meringankan kesusahan umat Islam," titah baginda.
Sultan Selangor turut menyeru semua umat Islam yang menetap atau bekerja di Selangor selain peniaga dan usahawan di negeri itu supaya menunaikan zakat di LZS.
"Hal Ini adalah sejajar dengan ajaran Islam, bahawa zakat itu hendaklah ditunaikan di tempat di mana seseorang itu memperoleh hartanya atau pendapatannya," titah baginda.
Pada majlis itu juga baginda menerima pembayaran zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji Selangor berjumlah RM7.19 juta daripada Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.
- Bernama

