'Pegawai SPRM ambil berat kebajikan Teoh'
Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Arman Alies, berkata beliau mengambil berat kebajikan Teoh Beng Hock sepanjang siasatan dijalankan terhadap bekas setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor itu.
Arman, saksi ke-21 yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh, menolak dakwaan pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud kononnya beliau tidak mempedulikan kebajikan Teoh ketika menyoal siasatnya.
Ketika disoal sama ada beliau menjaga kebajikan Teoh sepanjang menyemak dokumen bersama seorang lagi pegawai SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus, saksi itu berkata: "Selepas saya selesai menjalankan siasatan jam 11.50 malam, pada 15 Julai 2009, saya tidak berjumpa Teoh. Pegawai penyiasat sepatutnya yang mengambil tindakan seterusnya."
Apabila ditanya oleh Awang Armadajaya adakah beliau tidak mempedulikan Teoh, Arman dalam nada tegas berkata: "Tak boleh kata saya tak peduli kerana itu agak kasar. Saya sudah selesai tugasan rasmi dengannya, jadi saya balik."
Arman memaklumkan kepada prosiding hari ini bahawa beliau ada bertanyakan kepada Teoh sama ada beliau sudah makan atau belum dan Teoh memberitahu bahawa dia sudah makan dan hanya meminta segelas air kosong.
"Saya arahkan Mohd Ashraf mengambil air untuk Teoh dan buku perbendaharan untuk saya rujuk ketika menyemak invois," katanya.
Arman turut menafikan beliau memberi amaran kepada Teoh untuk bercakap benar kerana perbualan mereka dalam keadaan santai (biasa).
"Cara saya menyoal Teoh menggunakan nada rendah dan Teoh juga menjawab dengan perlahan. Teoh juga cuba mengingati sama ada empat invois yang dicetak melalui komputer ribanya berada dalam empat fail yang diambil dari Pejabat Tanah dan Daerah Petaling," katanya.
Arman memberitahu berkata beliau mencatat hasil siasatan yang dibuat dalam kertas A4 kosong tetapi tidak mengetahui di mana kertas itu disimpan selepas diserahkan kepada pegawai atasannya, Hairul Ilham Hamzah.
Ketika disoal oleh Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sama ada tanda yang dibuat oleh Arman dan Mohd Ashraf adalah untuk mengesyaki bahawa butiran dalam empat fail itu, termasuk tanda tangan, tuntutan, proses pemberian kerja atau pembekalan, adalah mencurigakan dan sama ada semua yang terlibat dalam projek atau program itu dianggap suspek, Arman menafikan bahaa mereka yang terlibat dalam projek dianggap suspek kerana itu adalah cara siasatan yang dibuat.
"Saya hanya membuat penandaan, dan siasatan selanjutnya akan dibuat oleh pegawai penyiasat dan mereka yang menjalankan pemeriksaan sama ada projek atau program itu berjalan," katanya.
Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Selain Foong, suruhanjaya siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.
- Bernama

