Pakar bedah dari Jerman, Dr Thomas Hoogland, yang memeriksa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menarik diri daripada melakukan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sikap kerajaan Malaysia khususnya selepas semua rundingan, peralatan yang tidak mencukupi di HKL memaksa saya menarik diri daripada menjalankan pembedahan endoskopik di sana," kata pakar itu dalam satu kenyataannya dari Jerman bertarikh 28 Mac lalu.

Kenyataan itu dihantar oleh peguam Anwar, SN Nair, kepada Pengarah Jabatan Penjara Malaysia semalam, dan satu salinannya diperolehi malaysiakini hari ini.

"Saya sungguh kesal pandangan negatif yang disampaikan dalam media massa tempatan (Malaysia) oleh Pengarah dan ketua pakar anestesiologi HKL dan juga Menteri Kesihatan; dan keadaan ini telah menyukarkan saya melakukan pembedahan itu (di negara ini)," kata Dr Hoogland lagi.

Beliau juga berasa kesal dengan kenyataan awal Pengarah HKL Dr Abdul Razak Kechik yang mengakui "kekurangan" kelengkapan di hospital itu tetapi kemudian menukar pandangannya dengan berkata "semua kemudahan tersedia" tetapi tidak mengambil langkah perlu untuk memperbaiki kekurangan itu.

"Mesej (yang disampaikan oleh Pengarah) itu menimbulkan rasa tidak percaya dalam perhubungan saya dengan HKL," kata Dr Hoogland.

Menurutnya, laporan rasmi yang dikeluarkannya bertarikh 13 Mac lalu dengan jelas menerangkan kekurangan utama peralatan di HKL untuk menjalankan pembedahan tulang belakang bekas pemimpin Umno itu.

"Saya juga menunjukkan dalam laporan itu kesukaran untuk menggantikan kekurangan (peralatan) itu," tambahnya.

Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun, dimasukkan ke hospital itu pada 25 November lalu kerana mengalami sakit belakang yang serius akibat cakera teranjak.

"Bagaimana mungkin seorang pakar bedah - walau berpengalaman luas - menjalankan pembedahan yang rumit di 'sebuah dapur asing,' lebih-lebih lagi apabila bertembung dengan pengurusan hospital melalui media massa," Dr Hoogland lagi, dalam kenyataan dua halaman itu.

Kecekapan pakar tempatan

Hoogland, yang telah memeriksa Anwar bulan lalu, berpendapat pemimpin politik itu memerlukan pembedahan tulang belakang endoskopik menjelang akhir April.

Menurut Hoogland, meja bedah, peralatan X-ray dan pengamat imej yang terdapat di HKL tidak mencukupi untuk pembedahan itu dan ditambah lagi dengan pakar anestetik tempatan yang kurang pengalaman dalam pembedahan sedemikian.

"HKL nampaknya ingin sangat mengelirukan dan menjatuhkan kewibawaan pendapat profesional saya, misalnya mengenai kenyataan saya tentang pakar anestetik. Saya tidak berniat memburuk-burukan atau mempersoalkan kecekapan pakar anestetik tempatan," katanya.

"Sebagai seorang ahli perubatan profesional, saya ada reputasi yang perlu dipertahan, bukan sahaja isu peralatan tetapi saya juga perlu memastikan rawatan yang terbaik dan keputusan rawatan yang terbaik."

Hoogland juga berkata beliau tidak bersetuju untuk menggunakan peralatan yang tidak pernah dipakai bagi mengadakan pembedahan sedemikian dan menjadikan Anwar sebagai "pesakit cubaan" yang pertama.

Nota: Dr Hoogland, seorang pakar keturunan Belanda, bertugas di kliniknya di Jerman.