Jumlah korban akibat serangan udara yang tercetus lewat malam semalam meningkat kepada 64 orang daripada 48 orang yang dicatatkan dalam laporan sebelumnya, kata seorang pegawai kesihatan Libya hari ini.

NONE “Kebanyakan kematian berpunca daripada kecederaan yang mereka alami, akibat itu jumlah kematian semakin meningkat,” kata pegawai itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

Sementara itu, Amerika Syarikat menjelaskan tiada 'tanda' bahawa orang awam menjadi mangsa serangan udara yang dilancarkan tentera Bersekutu ke atas Libya sejak semalam.

Naib Panglima William Gortney pada sidang akhbar di Pentagon, memberikan penjelasan itu selepas media rasmi Libya mendakwa serangan udara yang diketuai Amerika itu mensasarkan orang awam dan terdapat orang awam menjadi mangsa.

Gortney bagaimanapun berkata setakat ini tiada tanda orang awam menjadi mangsa berikutan serangan itu.

Dalam serangan malam semalam itu, letupan kuat menggegarkan ibu negara Libya, Tripoli termasuk satu letupan di kawasan berhampiran kediaman Presiden Muammar Gaddafi.

Asap kelihatan membuak ke udara dengan disusuli tembakan antipesawat berbalas tembakan.

NONE Tembakan juga kedengaran kira-kira dua jam selepas itu di kawasan sama di kediaman Gaddafi di Bab el-Aziziya di selatan Tripoli dengan api dari peluru memancar jelas ke udara.

Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) mula melancarkan serangan udara menggunakan pesawat dan roket ke atas Libya, lewat semalam selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi kempen menyekat keganasan rejim Gaddafi.

Gencatan senjata baru

Dalam pada itu, Tentera Bersekutu hari ini bersedia untuk melancarkan serangan baru ke atas Libya bagi menguatkuasakan resolusi yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghalang rejim Muammar Gaddafi menyerang orang awam bagi mempertahankan kuasanya.

NONE Ketika lebih banyak pesawat perang berlepas dari pangkalan di Itali menuju ke Tripoli, tentera Libya hari ini mengumumkan gencatan senjata terbaru selaras dengan permintaan Kesatuan Afrika supaya tindakan itu disegerakan.

“Saya amat berharap dan meminta pihak berkuasa Libya agar menunaikan janjinya itu (gencatan senjata)," kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

Tentera Gaddafi mengisytiharkan pertama kali gencatan senjata Jumaat lalu selepas selepas Majlis Keselamatan PBB menggunakan Resolusi 1973 untuk mengambil tindakan bagi menghalang orang awam menjadi mangsa berikutan serangan rejim Gaddafi ke atas pemberontak.

Namun, tentera Gaddadi dilaporkan terus menyerang pemberontak di kubu kuat di Benghazi, sehingga memaksa Amerika Syarikat (AS), British dan Perancis melancarkan serangan pertama, malam semalam.

- Agensi