Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taib: Calon BN S'wak saksi perubahan besar dalam PBB
Diterbitkan:  Mar 21, 2011 6:18 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Barisan calon BN Sarawak bagi pilihan raya negeri akan datang yang dijadual diumumkan sehari sebelum penamaan calon, bakal menyaksikan perubahan besar dalam senarai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dari segi muka baru yang akan dicalonkan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga pengerusi BN negeri dan presiden PBB berkata sudah menjadi amalan pengumuman senarai muktamad calon hanya dibuat selepas disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN pusat.

    

"Saya masih belum menerima senarai bagi tiga lagi parti komponen BN negeri tetapi kira-kira sesuku daripada 35 calon PBB adalah muka baru dan muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak 2011 di Kuching hari ini.

    

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat di Kuching Rabu ini untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas Dewan Undangan Negeri dengan 71 kerusi dibubarkan hari ini untuk diadakan pilihan raya negeri ke-10, dijangka bulan depan.

    

Ketika ini, BN menguasai 63 kerusi iaitu  35 daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 12 manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

    

Enam lagi kerusi dikuasai oleh  DAP manakala Parti Keadilan Rakyat dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

    

Kepada soalan siapakah yang mungkin dipilih sebagai pengganti beliau,  Taib yang pada Sabtu lepas berkata yang beliau akan meletakkan jawatan pada pertengahan penggal baru, memberitahu pihak yang sangsi supaya melihat rekod beliau, terutamanya selama 30 tahun menerajui kerajaan negeri.

    

"Jika anda mengkaji kelakuan saya lebih 30 tahun lepas, saya tidak pernah berbohong atau bermain politik kotor," katanya semasa diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang behawa beliau bersikap "kabur dan terumbang-ambing" mengenai perancangannya untuk meletakkan jawatan, termasuk tidak menamakan penggantinya.

    

"Semasa pilihan raya, anda tidak mahu wujudkan isu. Saya mengambil sikap berdiam diri berbanding dengan DAP," kata Taib yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian di samping dipertanggungjawabkan mengetuai kempen pilihan raya BN.

    

Sambil menyelar Lim, katanya: "Anda fikir saya bodoh (sehingga tidak mempunyai pelan peralihan)? Kenapa DAP tidak menamakan pengganti mereka?"

- Bernama

ADS