Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini melahirkan kebimbangan kadar tarif elektik akan dinaikkan. Fomca menganggap langkah itu akan membebankan pengguna-pengguna berpendapatan rendah dan syarikat-syarikat kecil.

"Elektrik yang dibekalkan oleh TNB merupakan perkhidmatan tetap bagi semua pengguna. Sekiranya tarif dinaikkan, pengguna berpendapatan rendah akan merasai kesan hebatnya," tegas Profesor Datuk Mohd Hamdan Adnan, Presiden Fomca kepada malaysiakini .

Pengerusi TNB, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dipetik sebagai pernah berkata TNB telah menghantar satu cadangan kepada kerajaan untuk menaikkan kadar tarif. Menurut sumber yang sama, TNB menganggap kenaikan tarif adalah perlu bagi menampung kenaikan kos operasi menjana kuasa elektrik.

Walaupun beliau tidak menyebut tentang jumlah kadar kenaikan, namun dipercayai kenaikan sebanyak satu peratus daripada 1.8 sen kepada 2 sen bagi setiap kilowat.

Seorang jurucakap TNB hari ini tidak menafikan kemungkinan kadar tarif elektrik akan dinaikkan pada satu jangka masa yang difikirkan sesuai. Sebelum ini kadar tarif pernah dinaikkan pada 1996 dan 1997. Bagaimanapun, kenaikan tarif perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan.