Apa yang terjadi di Pulau Pinang baru-baru ini, dikatakan berlaku pula di Melaka apabila 25 peniaga di deretan gerai milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di hadapan Pusat Perubatan Mahkota, Banda Hilir diberi notis supaya mengosongkan premis masing-masing.

Notis bertarikh 29 Mac lalu, yang ditandatangi oleh Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu, mengarahkan kalangan peniaga berkenaan  yang kebanyakan merekan bumiputera supaya mengosongkan gerai perniagaan masing-masing dalam tempoh 21 hari dari tarikh tersebut.

Malaysiakini di fahamkan notis pengosongan kawasan berkenaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi tujuan pembinaan projek tempat letak bas yang dinamakan Pahlawan City.

Bagi peniaga, biarpun ada rundingan awal pada tahun lalu dengan Datuk Bandar sebelum ini, Datuk Yusof Jantan mengenai projek berkenaan, namun, segala syarat yang diletakkan kepada peniaga langsung tidak menepati kehendak mereka sewaktu rundingan.

NONE Malah, menurut peniaga tempoh notis 21 hari yang diberikan dianggap terlalu singkat dan tidak masuk akal serta menyusahkan.

Peniaga turut mendakwa, MBMB mengkhianati kontrak yang sepatutnya berakhir Ogos depan tetapi mereka sudahpun diarahkan mengosongkan premis terbabit yang menempatkan tujuh peniaga gerai makanan manakala 18 lagi, peniaga barangan kraftangan.

Mengikut notis yang dikeluarkan, MBMB dikatakan bersetuju untuk memberikan wang ehsan kepada penyewa yang berjumlah RM300 sebulan selama setahun sementara menantikan projek itu siap.

MBMB juga berjanji untuk menawarkan semula tempat bagi kalangan peniaga terlibat di kawasan tersebut sebaik projek berkenaan siap sepenuhnya.

Tunggakan sewa

Di samping itu, kemudahan untuk menjelaskan tunggakan sewa yang berakhir Mac ini juga diberikan kepada penyewa terbabit secara ansuran dalam tempoh setahun sebelum projek berkenaan siap.

MBMB juga, ada menawarkan lokasi baru iaitu kawasan di Taman Rempah bagi peniaga makanan dan di Dataran Pahlawan bagi peniaga kraftangan, dengan kadar sewaan yang separuh lebih murah daripada biasa.

Bagaimanapun tawaran itu tidak dipersetujui kalangan peniaga yang mendakwa kebanyakan syarat dan tawaran yang diberikan tidak banyak membantu mereka.

Seorang peniaga yang melahirkan rasa tidak puas hati, Siti Normala Ibrahim, 30, yang merasakan perpindahan ke tempat baru nanti sudah pasti akan menjejaskan perniagaannya.

Menurutnya, dengan bebanan hutang yang terpaksa dijelaskan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan beberapa institusi kewangan lain membuatkan beliau bimbang kerana akan menyulitkan kehidupannya sekeluarga.

"Saya sekarang sedang mengandungkan anak ke tiga dan sudah pasti amat memerlukan kewangan sebaik anak saya lahir nanti.

"Sekurang-kurangnya kami perlu mencari RM2,000 sebulan bagi membayar semua yang dinyatakan, tetapi malangnya pampasan yang ditawarkan hanyalah RM300 sebulan," katanya ketika menyertai perhimpunan bersama peniaga lain sebagai membantah tindakan MBMB itu.

Peniaga gerai makanan Mahmud Seeron, 47, pula bimbangkan jaminan MBMB kerana setakat ini tiada sebarang perjanjian hitam putih memastikan mereka diletakkan kembali ke tempat asal setelah projek itu siap sepenuhnya kira-kira setahun nanti.

"Kami pinta kalau boleh pihak MBMB mempertimbangkan kembali keputusan yang dibuat kerana mereka perlu memikirkan nasib yang bakal kami tempuhi selepas ini sebaik berpindah," katanya.

Kira-kira sebulan lalu, nasib yang sama juga dilalui oleh 14 peniaga di Taman Pelangi, Pulau Pinang apabila diarahkan berpindah dari premis tempat mereka berniaga.