Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga kecewa Nik Aziz, exco tak hadir pertemuan
Diterbitkan:  Apr 4, 2011 3:14 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Seramai 415 peniaga pasar lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Arked Lambak UDA hari ini kecewa apabila Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan exconya tidak menghadiri pertemuan untuk melawat Bazar Tok Guru, premis baru yang ditawarkan kepada peniaga.

Bernama melaporkan Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Ab Salim Ahmad, kecewa apabila Nik Abdul Aziz dan exconya gagal hadir untuk bertemu semua peniaga yang mula berkumpul di bazar sejak 9 pagi.

"Sehingga 11 pagi ini, pimpinan kerajaan negeri tidak hadir dan ini menunjukkan mereka tidak berminat untuk membela nasib kami para peniaga yang ditindas.

"Kami sebenarnya mahu Datuk Nik Aziz dan exconya melihat sendiri keadaan di bazar ini yang tidak mungkin membolehkan kami berniaga dengan selesa kerana sempit dan khuatir tahap keselamatan ketika berniaga," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Ab Salim berkata, peniaga terbabit tidak pernah menyatakan persetujuan untuk berpindah ke bazar itu seperti yang didakwa tercatat dalam satu minit mesyuarat.

"Kami peniaga sama sekali tidak akan tunduk untuk berpindah dan akan mempertahankan kedai yang kami duduki di Pasar lama MPKB walau apa sekali pun," katanya.

Beliau juga berkata, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, yang memberi kata dua sama ada peniaga itu berpindah atau menyerahkannya kepada pihak lain yang berminat, tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Ab Salim, bagaimanapun, menyambut baik pelawaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mahu memberikan lot berniaga di Terminal Makanan Negara (TEMAN) di Tunjong sebagai alternatif penyelesaian.

Sementara itu, seorang peniaga, Abdul Rahim Abdullah, 65, bingung memikirkan nasibnya kerana lot yang ditawarkan di bazar itu terlalu kecil.

"Sepatutnya bukan jadi lebih kecil tetapi patut lebih besar daripada tempat lama. Saya memang sedih dan kecewa dengan keadaan ini," katanya yang telah lebih 30 tahun berniaga di pasar lama itu.

Isu Bazar Tok Guru berlanjutan apabila peniaga merasa tertipu kerana terpaksa berniaga di ruang yang sempit dengan harga yang mahal sedangkan perkara itu termasuk dalam manifesto PAS pada pilihan raya umum lalu untuk memindahkan peniaga itu di tempat yang lebih selesa dan murah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman, yang turut hadir dalam lawatan itu bersama beberapa anggotanya bagi memeriksa tahap keselamatan bazar yang bakal beroperasi tidak lama lagi itu, berkata pihaknya berpuas hati dengan tahap keselamatan yang diambil pemaju dalam membina bazar itu.

 - Bernama

ADS