BERITA

Polis siasat video seks dimuat di Internet

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Apr 2011, 8:18 pagi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis turut menyiasat sebahagian rakaman video seks yang didakwa menunjukkan aksi seorang pemimpin utama pembangkang, yang dimuatkan di Internet.

Beliau mengesahkan bahawa siasatan itu turut meliputi individu yang terlibat memuatkannya di laman video Youtube dan di laman blog.

NONE "Kita siasat secara menyeluruh," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dilaporkan, video pendek itu menunjukkan beberapa kesamaan dengan video yang didedahkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ismail turut ditanya bagaimana video berkenaan boleh dibocorkan di Internet.

Polis juga ingin tahu

Beliau ditanya demikian memandangkan individu yang mengaku bertanggungjawab ke atas video berkenaan, telah menyatakan hanya terdapat dalam dalam satu salinan sahaja.

"Ini kata dia kan? Betul atau tidak kita pun hendak tahu juga.

"Saya tidak boleh respon kepada setiap individu yang ada pandangan tertentu. Saya dah terangkan tindakan polis, saya dah terangkan kepada semua.

"Saya yakin apa yang polis buat adalah untuk mementingkan kepentingan rakyat menyeluruh," katanya lagi.

Rakaman berkenaan dilaporkan telah diserahkan kepada polis oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik pada 24 Mac lalu.

Selain Rahim, dua lagi i'Datuk T' yang mengaku bertanggungjawab menayangkan video berkenaan ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bendahari sebuah NGO Melayu Datuk Shuib Lazim.

KDN: Siasatan polis profesional

Sehubungan itu, menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata beliau sendiri tidak tahu sumber video pendek yang dimuatkan di laman Youtube .

Hishammuddin sebelum ini telah menafikan bahawa kementeriannya atau pihak polis berperanan dalam isu tersebut.

NONE Dalam sidang media sama hari ini, Hishammuddin turut menyatakan keyakinannya terhadap siasatan PDRM ke atas kes video lucah itu.

"Saya pun tak tahu mana datangnya video di Youtube tapi setahu saya dalam konteks apa yang berada dalam tanggungjawab pihak polis bersandarkan kepada laporan polis yang dibuat, Tan Sri IGP sendiri memantaunya dan kita telah umumkan kepada pihak media dan itulah merupakan apa yang ada dalam pengetahuan pihak polis.

"Ini dimaklumkan kepada saya oleh IGP apabila ditanya tadi,siapa yang keluarkan, siapa yang dedahkan, siapa dalam video itu, siapa yang turunkan dalam Youtube , wallahu a'lam.

"Tetapi yang paling penting rakyat mesti memahami polis ada tanggungjawab mereka dan setakat ini saya tengok pihak PDRM telah menjalankan tugasnya secara profesional dengan menilai video yang ada pada mereka dan lepas itu serah kepada peguam negara," katanya lagi.

Hishamuddin bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu pelancaran sistem pemantauan keselamatan bandar di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.