Ba'kelalan: Willie Liau nafi keberatan jadi calon BN
Peguam Willie Liau menafikan spekulasi bahawa beliau keberatan menjadi calon BN berikutan nama calon bagi kerusi DUN Ba'Kelalan lambat diumumkan.
Bapa kepada tiga anak berumur 43 tahun itu berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu petang semalam apabila beliau menerima surat pelantikan sebagai calon BN dari pengerusi BN negeri dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Liau bagaimanapun berkata misteri mengenai kenapa nama calon bagi kerusi itu lambat diumumkan sebaiknya dijawab oleh pemimpin parti dan bukan dirinya.
"Saya sudah bersedia hadapinya (pilihan raya), sudah tentu semasa pilihan raya, parti perlu menimbangkan beberapa pilihan (calon) sebelum membuat keputusan muktamad," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Lawas hari ini.
Seorang lagi peguam Libat Langub, 47, merupakan pilihan pertama Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk mempertahankan kerusi DUN Ba'Kelalan tetapi menolaknya atas sebab peribadi.
Berita mengenai Liau dinamakan sebagai calon Ba'Kelalan telah tersebar sejak minggu lepas tetapi usaha pemberita tempatan mendapatkan pengesahan daripadanya tidak berhasil.
Peguam itu menjelaskan berdasarkan pengalaman lepas, adalah lebih baik untuk beliau menerima surat rasmi terlebih dahulu sebelum bercakap kepada media.
Mengenai prospek beliau akan berdepan dengan bapa saudaranya iaitu pengerusi PKR Sarawak Baru Bian di kerusi itu, Liau menyifatkannya sebagai pertandingan antara ahli politik veteran berpengalaman dan orang yang kerdil.
"Saya lebih suka dianggap sebagai calon kerdil di sini," kata Ketua Pemuda SPDP bahagian Ba'kelalan yang berwajah keanak-anakan itu.
"Kami mempunyai objektif yang sama tetapi saluran berbeza dalam melakukannya," katanya dan menurutnya isu tanah hak adat (NCR) dan agama merupakan antara isu yang akan dimainkan oleh pembangkang.
Beliau berkata terdapat banyak salah tanggapan mengenai tanah NCR berikutan tiada penerangan yang jelas diberikan kepada masyarakat Lun Bawang di kawasan itu.
Lulusan ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LL.B) dengan kepujian dari Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi Mara (UiTM), Liau berasal dari Kampung Buduk Bui, Ba'Kelalan, Lawas.
Ba'Kelalan mempunyai 6,958 pemilih berdaftar dan merupakan kubu kuat BN sejak 1986.
Pada pilihan raya negeri 2006, setiausaha agung SPDP dan calon BN Nelson Balang Rining mengalahkan Baru Bian yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan majoriti tipis 475 undi.
- Bernama

