Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: E-mel 1Malaysia projek swasta
Diterbitkan:  Apr 20, 2011 8:42 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata bahawa projek e-mel 1Malaysia yang diumumkan semalam adalah inisiatif sepenuh sektor swasta dan tidak membabitkan sektor awam.

    

"(Penyertaan) secara sukarela dan jika tidak mahu (turut) serta jangan sertai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Kompleks Sukan negeri Perak di Ipoh hari ini.

    

Beliau menjelaskan bahawa projek itu telah dinilai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau PEMANDU dan diumumkan sebagai salah satu projek daripada tujuh projek baru Program Transformasi Ekonomi (ETP).

    

Di bawah inisiatif berkenaan, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan diberikan satu akaun e-mel rasmi yang unik.

    

Semasa mengumumkannya, Najib berkata insiatif e-mel 1MY itu akan membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat antara rakyat Malaysia dan kerajaan dan juga meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan kepada pengguna dan ahli perniagaan.

    

Tricubes Bhd akan mempelopori pelaburan RM50 juta itu yang juga termasuk pembangunan sebuah laman portal, akaun e-emel bagi semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sebuah pusat sehenti bagi perkhidmatan kerajaan, penyediaan khidmat tambah nilai seperti rangkaian sosial, semakan bil dalam talian dan juga pembayaran, sebagai tambahan kepada set peralatan pembangunan web untuk

warganegara dan entiti perniagaan bagi membangunkan aplikasi secara kreatif.

    

Pengumuman projek berkenaan bagaimanapun mendapat reaksi negatif dan tidak puas hati pelbagai pihak terutama daripada pemimpin pembangkang yang mempertikai kedudukan syarikat berkenaan dan juga penggunaan dana kerajaan.

    

PEMANDU juga semalam telah memberi penjelasan bahawa kerajaan tidak membiayai projek akaun e-mel 1 Malaysia dan ia juga bukan sesuatu yang diwajibkan kepada rakyat.

    

"Alamat e-mel 1Malaysia bukan wajib bagi kesemua rakyat Malaysia. E-mel 1Malaysia adalah inisiatif diterajui swasta, oleh Tricubes (Berhad), dengan pelaburan daripada syarikat dan bukannya kerajaan," kata PEMANDU.

    

Sementara itu, mengenai kekosongan jawatan senator ekoran khidmat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah tidak disambung, Perdana Menteri berkata belum ada keputusan dibuat mengenainya.

    

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai permintaan MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) supaya jawatan senator diberikan kepada wakil parti masing-masing.

    

Murugiah dilantik sebagai senator semasa menjawat jawatan Ketua Pemuda PPP sebelum menyertai MIC tahun lepas. Penggal pelantikannya berakhir Isnin lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS