Suaram bidas polis tahan peserta demo Hari Pekerja
Tindakan pihak polis yang mengganggu perhimpunan awam dan menangkap sekurang-kurangnya 21 orang termasuk empat remaja bawah 18 tahun sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu dikecam pelbagai pihak.
Terbaru, Suaram dalam satu kenyataan akhbar mendakwa polis sekali lagi menjadi alat kepada kerajaan pemerintah dalam menindas rakyat khususnya kaum buruh yang menyertai aktiviti perhimpunan hari pekerja.
“Tangkapan sekurang-kurangnya 21 orang pada perhimpunan aman kali ini berbanding enam tangkapan pada tahun lalu menunjukkan kebiadaban pihak polis. Ia juga menunjukkan bahawa tiada inisiatif di ambil oleh polis bagi memperbaiki imejnya yang sering digambarkan sebagai ‘ganas’ dan ‘tidak berperikemanusiaan’.
“Ia merupakan satu pencabulan hak asasi manusia secara terbuka dan sangat memalukan,” kata penyelaras Suaram, Yap Heng Lung.
Menurutnya, tindakan polis itu telah menafikan hak rakyat untuk berkumpul dan berhimpun secara aman seperti yang termaktub di bawah artikel ke-10 Perlembagaan Persekutuan. Ia juga secara langsung telah melanggar hak asasi manusia bawah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.
“Tindakan pihak polis, khususnya dari unit cawangan khas yang tidak menggunakan pakaian beruniform dan melakukan tangkapan adalah sesuatu yang tidak profesional dan memalukan.
“Tindakan pihak polis yang mengarahkan sekumpulan pemuda berbaju kemeja-T merah untuk membuka baju di depan khalayak umum merupakan satu tindakan tidak profesional dan tidak bertamadun.
“Keengganan pihak polis bagi menunjukkan kad kuasa juga sesuatu tindakan yang menunjukkan keangkuhan mereka,” kata Yap.
Menurut beliau, Suaram juga mengutuk tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan salah seorang ahli jawatankuasa perhimpunan yang juga salah seorang tahanan iaitu S Arutchelven dengan satu kes kecurian pada tempoh 15 tahun lalu.
“Hari Pekerja di sambut di setiap negara di seluruh pelusok dunia, namun pencabulan hak asasi manusia (khususnya pekerja) dan tangkapan hanya berlaku di negara ini.
“Di mana imej negara kita sebagai sebuah salah sebuah negara ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu?’ soalnya dalam akhir kenyataan itu.
Selain Arutchelven, turut ditangkap termasuk anggota parlimen Sungai Siput Dr M Jeyakumar Devaraj.
Pada perhimpunan berkenaan ratus pekerja menyertainay bagi menuntut sistem gaji minimum dilaksanakan dan juga agar harga barangan tidak terus dinaikkan sehingga membebankan rakyat.

