Kementerian nafi pinggirkan luar bandar
Kementerian Pengangkutan, yang merupakan peneraju Bidang Keberhasilan Utama Pengangkutan Awam Nasional, komited memastikan kemudahan pengangkutan awam turut dinikmati masyarakat luar bandar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata tanggapan bahawa kerajaan hanya memberi keutamaan kepada penduduk bandar atau bersikap berat kepada kawasan bandar adalah tidak benar.
"Buktinya laluan kereta api pantai timur dari Gemas ke Tumpat misalnya bakal menikmati tambahan 14 gerabak "blue train" dari Jepun yang sedang dalam proses ubah suai bagi meningkatkan kapastiti untuk memenuhi permintaan yang sentiasa bertambah.
"Selain itu, kerja-keja permodenan beberapa stesen Kereta api Tanam Melayu Berhad (KTMB) di Pasir Mas, Wakaf Baru, Gua Musang dan beberapa stesen lain adalah komitmen ke arah itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Rahim berkata kajian terperinci dari sudut kesesuaian daya maju dan jumlah penumpang laluan baru kereta api pantai timur juga sedang dilakukan oleh juru perunding yang dilantik atas inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi maksud tersebut.
Beliau berkata kerja-kerja permodenan kereta api negeri Sabah juga hampir selesai sepenuhnya dengan kos mencecah RM500 juta.
"Dengan siapnya kerja-kerja tersebut, ia akan membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan itu...
"akses ke luar bandar Beaufort dan Tenom dari ibu negeri (Kota Kinabalu) dengan perkhidmatan yang jauh lebih selesa dan boleh percaya selaras dengan hasrat dan slogan kerajaan iaitu Perkhidmatan 1Malaysia dan matlamat mendahulukan rakyat,” kata Abdul Rahim.
-Bernama

