Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra memberi jaminan kepada Australia bahawa pemohon suaka yang dipindahkan ke Malaysia akan dilayan dengan penuh perikemanusiaan dan bermaruah.

Datuk Salman Ahmad memberitahu Sky TV pada Ahad bahawa pemohon suaka yang dihantar ke Malaysia akan diberi kebebasan bergaul dengan masyarakat sementara menunggu permohonan mereka diproses.

"Mereka tidak akan ditempatkan di mana-mana pusat tahanan," katanya.

Salman membayangkan bahawa cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia itu mungkin dilaksanakan sekali sahaja dan butiran terperinci mengenainya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya Kuala Lumpur mengalu-alukan komitmen Australia untuk mengambil lebih banyak pelarian di Malaysia yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang 94,000 orang.

Di bawah persetujuan sedia ada, Malaysia akan mengambil 800 orang yang cuba pergi ke Australia manakala Australia pula bersetuju mengambil 4,000 pelarian yang berada di Malaysia.

"(Dan) sudah tentulah lebih baik jika Australia bersetuju mengambil lebih daripada 4,000 orang," kata beliau.

Bendahari Australia Wayne Swan hari ini berkata kerajaan pimpinan Julia Gillard akan berusaha untuk melaksanakan perjanjian serupa dengan negara lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Gillard mengumumkan pada Sabtu bahawa Malaysia dan Australia sedang memuktamadkan perjanjian untuk bertukar pemohon suaka dan di bawah perjanjian ini, 800 orang yang cuba memasuki Australia dengan menaiki bot akan terus diambil oleh Malaysia.

Sebagai balasan, Australia akan mengambil 4,000 pelarian tulen dari Malaysia dalam tempoh empat tahun.

Ketika mengumumkan perkara itu, Gillard berkata langkah yang dicadangkan itu akan memberi tamparan hebat kepada penyeludup manusia.

"Seseorang yang cuba pergi secara tidak sah ke Australia menghadapi risiko terkandas di Malaysia dan diletakkan di bahagian belakang barisan menunggu," katanya kepada pemberita di Canberra.

Canberra berkata cadangan yang sedang dirundingkan itu akan melibatkan kos A$292 juta.

- Bernama