Ratusan anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Kelantan mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek ladang rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

ladang rakyat demo, kota bharu, kelanatan Perhimpunan itu berlangsung selama sejam bermula jam pukul 9.30 pagi disertai Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Majlis Belia Kelantan, Majlis NGO Negeri Kelantan, Belia 4B dan Pemuda Umno Kelantan dan beberapa penduduk orang Asli di Gua Musang yang mendakwa kehilangan tanah mereka akibat projek itu.

Sambil melaung-laungkan perkataan "Gelombang Merah", Bernama melaporkan mereka berdiri sambil memegang kain rentang di tepi jalan raya sebelum berarak ke hadapan pintu pagar utama pejabat kerajaan negeri Kota Darulnaim dengan dikawal rapi oleh polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Kain-kain rentang itu antaranya bertulis 'Berhentilah Nik Aziz; PAS Tipu Rakyat; Ladang Wakil Rakyat; Pade doh weh, tok wakil PAS kayo doh (Cukuplah setakat ini, wakil rakyat Pas sudah kaya).

Memorandum itu diserahkan oleh Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Saffian kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof.

ladang rakyat, kelantan Projek Ladang Rakyat anjuran kerajaan negeri Kelantan itu dikatakan kini menjadi sumber pendapatan kepada lebih 4,300 rakyat negeri itu.

Projek pertama itu membabitkan kawasan seluas 10,000 ekar di Lubok Bongor, Sokor (Tanah Merah) dan Kandek (Kuala Krai).

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerajaan negeri mewujudkan ladang berkenaan agar ia dapat mengeluarkan hasil untuk diagihkan kepada rakyat miskin secara berterusan.

Katanya, melalui program itu rakyat miskin secara berterusan akan mendapat pulangan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan dalam bentuk dividen hasil keuntungan ladang yang dijalankan.

“Program ini bukannya untuk menampung perbelanjaan hidup, tetapi ia merupakan program pendidikan kewangan dan peningkatan taraf hidup. Rakyat yang miskin akan memasuki ‘akademi ladang rakyat’, sebagai peserta program, bukannya sebagai tuan tanah,” katanya.

Anuar, yang mengetuai demo hari ini berkata penyerahan memorandum kepada kerajaan Kelantan itu bertujuan menuntut keadilan untuk rakyat berikutan wujud penyelewengan dalam pengurusan projek berkenaan.

ladang rakyat, kelantan "Dalam memorandum itu kita menuntut empat perkara agar kerajaan negeri memberi maklum balas iaitu menyenaraikan secara terperinci nama serta status syarikat yang terlibat dalam projek ladang rakyat.

"Yang kedua kerajaan negeri perlu menjelaskan sejauh mana penglibatan bumiputera dalam projek ladang rakyat, ketiga senaraikan bilangan peserta terlibat dalam projek itu dan keempat umumkan laporan kewangan hasil tahunan projek itu dari tahun 2006 hingga 2011," katanya.