Most Read
Most Commented
Read more like this

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Industri Petroleum dan Pembangunan Sumber Manusia Terengganu, Mustafa Ali, berkata kerajaan negeri akan

menyiasat Perwaja, sebuah syarikat besi keluli yang dilanda penyelewengan.

Syarikat milik kerajaan itu mencatatkan kerugian berjumlah RM2.985 ribu juta dan menanggung hutang sebanyak RM6.9 ribu juta pada 31 Disember 1995, menjadikannya penyelewengan kewangan yang terbesar dalam sejarah negara.

"Buat masa ini, kami sedang memikirkan apakah bentuk-bentuk tindakan yang boleh diambil oleh

kerajaan negeri," Mustafa memberitahu malaysiakini Kerajaan negeri Terengganu mempunyai 19 peratus kepentingan dalam Perwaja.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan Persekutuan mestilah bersedia membantu siasatan itu.

"Kerajaan negeri sukar menyiasat isu itu bersendirian," jelasnya. "Jika kerajaan Persekutuan

tidak mahu mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan syarikat terbabit, ini bermakna pihak Persekutuan tidak telus."

Beliau juga menambah penyiasatan Perwaja sudah memakan masa terlalu panjang.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) memulakan siasatan ke atas Perwaja pada 1996, selepas setahun badan audit dalaman syarikat itu mendapati beberapa bentuk keraguan dalam pengurusan sebelumnya. Keraguan itu termasuklah rekod-rekod akaun yang salah dan berjuta-juta ringgit kontrak yang tidak melalui saluran yang betul diberikan kepada syarikat-syarikat di Malaysia dan luar negara.

Dalam siasatannya, BPR mengambil kenyataan dari 60 orang pegawai, termasuklah Pengarah Urusan Perwaja Eric Chia, yang dilantik sendiri oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyelamatkan syarikat yang sedang tenat itu.

Bagaimanapun, di bawah teraju Eric Chia, kerugian Perwaja meningkat dari RM1 ribu juta kepada RM2.9 ribu juta.

BPR juga bertolak ke Jepun, Hongkong dan Switzerland untuk mengumpul bukti berhubung sejumlah bayaran RM76.4 juta yang dibuat oleh Perwaja kepada NKK Corporation melalui sebuah syarikat yang tidak wujud, Frilsham Enterprises di Hongkong.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang menggesa kerajaan Terengganu pimpinan PAS mendedahkan "penyelewengan kewangan yang terbesar di sepanjang 18 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri" dengan cara menubuhkan satu suruhanjaya siasatan yang bebas bagi membongkar penyelewengan hasil minyak negeri itu, yang selama ini digunakan dalam pelaburan syarikat tersebut.

"Setakat ini, tidak ada sesiapa pun didakwa di mahkamah berhubung penyelewengan ini, menjadikan Perwaja 'kes jenayah tanpa penjenayah' yang terbesar dalam sejarah Malaysia," jelasnya.

Siasatan BPR sebahagian besarnya sudah disiapkan pada penghujung 1997 dan satu laporan penuh telah pun dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada Mac 1998. Sejak tarikh itu, desakan demi desakan dibuat bagi mendakwa Eric Chia. Tetapi sehingga sekarang, tidak ada seorang

pun eksekutif Perwaja didakwa di mahkamah.

Kit Siang menjelaskan bahawa kerajaan Terengganu boleh mendesak pihak berkenaan mengeluarkan satu rekod akaun bagi semua keraguan dan penyelewengan Perwaja.

Baru-baru ini, Menteri Besar negeri itu Abdul Hadi Awang memberitahu sebuah akhbar perniagaan Asian Wall Street Journal bahawa kerajaannya tidak akan meneruskan suntikan wang kepada kilang keluli yang muflis itu.

"Kami baru memulakan siasatan ke atas Perwaja dan tindakan akan diambil kepada mereka yang menyebabkan penyelewengan tersebut," katanya lagi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis pada Julai lalu berhubung penyelewengan yang didakwa melibatkan Dr Mahathir dalam skandal Perwaja.

Beliau menjelaskan bahawa ketika beliau sebagai Menteri Kewangan, beberapa percubaan sudah dibuat untuk mendapatkan maklumat lengkap daripada pihak pengurusan tertinggi syarikat itu, khususnya Pengarah Urusannya Eric Chia. Bagaimanapun, Eric beberapa kali mendakwa tindakan-tindakannya mendapat sokongan dan arahan dari Dr Mahathir sendiri.

Anwar menambah, dalam laporan polis itu, dakwaannya diperkukuhkan lagi dengan surat-surat yang ditulis oleh Mahathir.

"Selain Eric Chia, Mahathir sebenarnya bertanggungjawab secara langsung meluluskan

projek-projek dan menganugerahkan kontrak-kontrak tanpa melalui sistem tender dan tidak mengikut peraturan kewangan yang betul," jelas Anwar dalam laporannya kepada polis.

"Penglibatan langsung Mahathir dalam hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyiasat skandal ini dengan betul," tambahnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS