Belalang 'kerrek" atau lebih dikenali sebagai belalang rusa berpotensi diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa berikutan keunikan 'suara' yang dimiliki serangga itu, kata Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Ramly Yusof.
Beliau berkata serangga berkenaan yang sering digunakan dalam pertandingan khas sehingga memukau perhatian dan pendengaran masyarakat, mampu dijadikan satu produk pelancongan yang boleh menaikkan nama negara.
"Pertandingan suara belalang ini memang terkenal sejak dahulu, dijalankan pada waktu malam dan keunikan suaranya dinilai sama ada sangat baik, sederhana baik dan kurang baik.
"Suara belalang ini mempunyai potensi tersendiri dan dengan sifatnya yang menarik perhatian ramai, ia sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri yang perlu kita manfaat dan kembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya semasa Program Info Komuniti 1Malaysia di Kampung Peringat dekat Kota Baharu.
Dalam pertandingan suara belalang pada program itu yang berlangsung semalam, sebanyak 53 belalang ditampilkan, dengan tiga daripadanya terpilih sebagai pemenang.
Ramly berkata pertandingan suara belalang itu juga memberi manfaat sampingan apabila dengan penglibatan peserta pelbagai peringkat umur, ia memberi ruang kepada mereka mengetengahkan kesenian dan bakat mereka dalam menjaga belalang berkenaan.
Katanya ada juga individu yang berjaya meraih pendapatan sampingan hasil daripada menjual serangga berkenaan dan menyertai pertandingan suara belalang yang dianjurkan.
"Aktiviti bermain atau bertanding dengan suara belalang satu aktiviti yang sihat untuk masyarakat, ia perlu diteruskan kerana semasa bertanding, peserta bukan sekadar dapat berkongsi idea sesama mereka, tetapi juga mengasah bakat dalam kesenian mendengar suara belalang," katanya.
--Bernama
