Pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai menteri dengan tugas-tugas khas negeri yang menguruskan sebahagian besar perkara berkaitan tanah, menyemarakkan spekulasi bahawa beliau berada semula di barisan hadapan bagi jawatan Ketua Menteri Sarawak.

taib and adenan staem shaking hands 180305 Bekas menteri dalam Kabinet persekutuan ini adalah Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum dilantik ke jawatan yang baru, dan juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Meskipun beberapa penganalisis politik berhujah bahawa pelantikan Adenan menganggotai Kabinet negeri membayangkan kemungkinan terdapat perubahan besar dalam pelan peralihan Ketua Menteri, namun ada pihak yang percaya bahawa beliau mungkin tidak akan berada di barisan hadapan.

NONE "Taib (Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud) melantik Adenan sebagai anggota Kabinet untuk memberi saingan (mengenai siapa yang perlu menggantikan beliau). Tidak ada beza pun memandangkan beliau (Adenan) telah menghadiri mesyuarat Kabinet (negeri) atas kedudukannya sebagai Penasihat Khas (kepada Ketua Menteri yang bertaraf menteri negeri). Pelantikan ini hanyalah untuk menjadikan kedudukan itu formal," kata penganalisis politik Prof James Chin ( kanan ) dari Monash University Malaysia.

Bakal pengganti

Bagaimanapun, Chin, yang juga anak kelahiran Sarawak, percaya masa pelantikan itu dibuat mempunyai kaitan dengan peristiwa yang berlaku sejak beberapa minggu lepas, apabila terdapat kempen dalam alam maya oleh blogger di luar Sarawak untuk mempromosi menteri kanan negeri Datuk Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang berikutnya.

bn candidates announcement pbb hq 030411 abang johari Abang Johari ( kanan ), yang juga Timbalan Presiden II PBB, menjawat dua portfolio penting dalam Kabinet negeri iaitu Pelancongan dan Warisan serta Perumahan dan Pembangunan Bandar. Beliau adalah antara empat nama yang disebut-sebut sebagai bakal pengganti Taib.

Tiga calon lagi ialah Adenan; Naib Presiden Kanan PBB dan Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Awang Tengah Ali Hassan; dan Timbalan Presiden I PBB yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

"Pada dasarnya, beliau (Taib) mahu memberitahu mereka bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai siapa yang patut menjadi penggantinya dan orang luar tidak perlu campur tangan," kata Chin.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Awang Azman Awang Pawi, yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak, percaya pelantikan Adenan mempunyai kaitan dengan persediaan Barisan Nasional (BN) negeri untuk berdepan pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 29 Jun.

NONE "Adenan terkenal dengan kemahirannya berdebat, berupaya berbahas dengan sesiapa saja dan tiada pemimpin lain dalam BN negeri yang dapat berbuat demikian kecuali Taib dan Asfia ( kanan )  (Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar). Beliau boleh berhujah dan menjelaskan isu, fakta demi fakta," katanya.

Awang Azman berkata perkara ini penting memandangkan BN Sarawak akan berdepan penyelidik dan pendebat yang bagus, misalnya Pengerusi PKR negeri dan Adun Ba'Kelalan, Baru Bian dan Adun Batu Lintang daripada parti itu, See Chee How yang terkenal kerana kepakaran mereka dalam perkara berkaitan isu Tanah Hak Adat Bumiputera. Kedua-dua mereka adalah peguam.

Krisis dalaman

"Anda perlu ingat bahawa pada 1987, apabila PBB berdepan krisis dalaman kerana beberapa Adun PBB menjadi wakil rakyat bebas dan PBDS (Parti Bansa Dayak Sarawak yang kini dibubarkan) menyertai pembangkang, beliau (Adenan) telah menangkis setiap hujah berhubung isu tanah NCR yang dibangkitkan oleh pembangkang semasa beliau menjadi menteri negeri yang bertanggungjawab mengenai tanah," katanya.

NONE Sebelum pilihan raya negeri 16 April lalu, Baru ( kiri ) melontar cabaran kepada Taib untuk berdebat mengenai isu tanah NCR tetapi Taib, yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, sebaliknya menugaskan Adenan untuk menggalas cabaran itu.

"Ini menjelaskan kenapa pembangkang bertegas untuk berdebat dengan Taib sahaja dan bukan Adenan. Mereka tidak mahu berdepan beliau (Adenan) kerana mereka tahu Adenan dengan mudah dapat mengalahkan mereka, fakta demi fakta," katanya.

Sudah berusia

Adenan menyandang beberapa portfolio dalam pentadbiran negeri termasuk pembangunan tanah dan pembangunan sosial, dan dalam Kabinet persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Beliau meletak jawatan daripada Kabinet persekutuan pada 2006.

Pernah bertugas sebagai wartawan, majistret dan peguam sebelum menceburi politik, Adenan memenangi kesemua kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya sejak 1979, termasuk mengekalkan kerusi Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

adenan satem and sarawak Beliau dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri dalam rombakan Kabinet pada Mac 2010.

Bagaimanapun, Awang Azman percaya di sebalik semua pengalaman beliau sebelum ini, peranan Adenan tidak lebih daripada memberi hujah yang lebih tepat dan tajam dalam persidangan DUN.

"Adenan sudah pun berusia 67 tahun dan ini tidak memungkinkan beliau berada di barisan hadapan bagi jawatan Ketua Menteri. Namun begitu, beliau masih seorang ahli politik yang sukar untuk dikalahkan," katanya.

- Bernama