Mulai 1 Mac 2012, semua 43 zoo, pusat pembiak baka dalam kurungan komersial, pusat penyelidikan, pemilik sarkas atau penganjur pameran hidupan liar di negara ini, wajib memiliki lesen khas bagi menyimpan organ, anggota badan dan binatang hidup yang dilindungi.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata semua peraturan di bawah akta itu, yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dijangka dapat diwartakan sebelum akhir September ini.
"Kita beri tempoh enam bulan untuk mereka memohon lesen khas ini dan akta ini akan memberi lebih perlindungan kepada hidupan liar melalui peningkatan penguatkuasaan undang-undang serta hukuman yang lebih berat," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata sebelum ini, pengendali zoo dan sebagainya hanya memiliki lesen bagi setiap binatang di dalam jagaan masing-masing dan bukan bagi keseluruhan operasi premis mereka.
Douglas berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri konsultasi berhubung pengeluaran lesen khas tersebut dengan pihak-pihak berkaitan yang melibatkan peraturan zoo, pameran, sarkas, pembiakan komersial dan pelupusan.
"Sehingga kini, Perhilitan telah menjalankan audit ke atas 17 Taman Zoologi dalam memastikan operator Taman Zoologi mematuhi Peraturan Pengendalian Zoo yang akan dikuatkuasakan.
"Laporan audit bagi setiap Taman Zoologi akan disediakan sebagai maklum balas kepada jawatankuasa yang memproses kelulusan permit sesebuah zoo dengan sewajarnya," kata beliau.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 116 kes jenayah hidupan liar direkodkan sejak penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 pada 28 Disember tahun lalu.
Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 10 kes dibawa ke mahkamah manakala 106 kes lagi masih dalam siasatan.
Douglas berkata pihaknya memberi tempoh sehingga 1 Julai ini, bagi operator atau individu untuk mendapatkan lesen memiliki spesis haiwan yang dilindungi.
Beliau berkata pihaknya juga sudah membuat keputusan untuk mengeluarkan senarai enam spesis haiwan yang sepatutnya dikategorikan sebagai spesis dilindungi, antaranya burung murai batu, pipit dan merbah telinga merah.
- Bernama
